Kerajaan harap 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera tercapai melalui WKB 2030 - Tun Mahathir
Rahimah Abdullah
Oktober 5, 2019 14:58 MYT
Oktober 5, 2019 14:58 MYT
Kerajaan berharap sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera akan dapat dicapai melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, ia hanya akan dapat dicapai melalui kesungguhan ditunjukkan golongan Bumiputera selain peluang disediakan kerajaan.
"Kita harap (sasaran tercapai) begitulah. Namun ia bukan hanya bergantung kepada pelan kerajaan. Pelan ini berdaya maju dan mampu meningkatkan pemilikan kekayaan sebanyak 30 peratus bagi Bumiputera. Tetapi sambutan dari Bumiputera penting," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
Katanya lagi, kerajaan bertanggungjawab mencipta dan mewujudkan pelan, namun, rakyat terutama golongan sasaran perlu melaksanakannya melalui matlamat yang digariskan.
"Kalau mereka tidak memberi sambutan, kita wujudkan peluang kerja mereka tak mahu kerja, kita nak mereka belajar di universiti dan mereka tidak berminat, maka kalau tiada sambutan seperti ini, maka sukarlah untuk mencapai matlamat berkenaan," tambahnya.
Tun Dr. Mahathir juga mengakui ada pihak yang tidak bersetuju dengannya apabila beliau menceritakan mengenai sikap sesetengah golongan Bumiputera yang menyebabkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
"Sekarang ini ramai orang marah pada saya. Tetapi kita dapati kita tak suka nak kerja berat. Ini bukan baharu, semasa 70 tahun dulu pun saya lihat perkara ini berlaku. Sebab apa negara kita mempunyai ramai orang asing untuk bekerja? Mereka datang sebab kita tak nak bekerja. Sampai sekarang pun macam itu juga. Orang Bangladesh datang untuk kerja kerana kita tak nak buat kerja itu. Kita anggap berat, bahaya dan kotor.
Justeru, beliau berharap golongan Bumiputera menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan agar mereka tidak ketinggalan.
"Kita lihat orang yang datang dulu bekerja kuat sebab kita tak nak kerja, kita tengok sekarang ini mereka cukup maju. Jadi kalau kita bagi peluang pun, kalau kita tak bekerja kuat kita memang tak boleh," ujar Perdana Menteri.