Kerajaan haramkan komik propaganda komunis
Firdaus Azil
Oktober 23, 2019 19:30 MYT
Oktober 23, 2019 19:30 MYT
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan komik kontroversi “Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama”, bersekali dengan versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian berkata, larangan itu dikuatkuasakan ekoran kandungan penerbitan itu mengandungi elemen yang boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan orang awam, serta kemungkinan menggemparkan fikiran masyarakat.
Kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosi ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai perjuangan komunis, serta membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan fahaman itu.
Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca, khususnya generasi muda mengenai sejarah Malaysia, serta mempertikai usaha pemimpin dan pejuang terdahulu mengenai kemerdekaan negara ini.
Sehubungan itu, KDN berkata, mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, atau memiliki, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun.
Selain itu mereka juga boleh didenda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
#KDN
#Kementerian Dalam Negeri
#keselamatan
#ketenteraman awam
#komik progapanda
#komunis
#penjara
#sosialis