Kerajaan guna platform ASEAN tangani jerebu rentas sempadan - Nik Nazmi

Astro Awani
Oktober 3, 2023 19:13 MYT
Nik Nazmi berkata, pihaknya juga akan melihat keperluan untuk meningkatkan perjanjian yang telah dicapai sebelum ini termasuk memperbaikinya dengan perkembangan semasa.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menguna pakai platform kerajaan kepada kerajaan (G2G), diplomasi dan ASEAN sebagai langkah mengatasi masalah jerebu rentas sempadan di negara ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya juga akan melihat keperluan untuk meningkatkan perjanjian yang telah dicapai sebelum ini termasuk memperbaikinya dengan perkembangan semasa.
"Kita akan menggunakan peluang diplomasi dan ASEAN sebagai kerangka untuk kita bertindak dalam mengatasi jerebu rentas sempadan ini. Ia termasuk melihat keperluan untuk meningkatkan perjanjian yang sudah ditandatangani serta perlu diperbaiki dengan perkembangan semasa.
"Kita akan mengkaji perkara tersebut sebab kita faham (kerana) ia memberi kesan kepada kesihatan rakyat di ASEAN ini. Bila berlakunya jerebu rentas sempadan dan rakyat mahukan sesuatu keadaan yang lebih baik," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Tambah Nik Nazmi, pihaknya juga akan berbincang dengan Kementerian Luar Negeri untuk melihat langkah seterusnya yang terbaik dalam menangani masalah itu.
Pada November 2019, Malaysia dan Singapura bersetuju bekerjasama dalam melaksanakan kajian dan pembangunan (R&D) dalam bidang pencegahan kebakaran di tanah gambut bagi mencari penyelesaian menangani isu jerebu di rantau ini.
Persetujuan itu dicapai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (MESTECC), Yeo Bee Yin dan rakan sejawat dari Singapura, Masagos Zulkifli, ketika program Pertukaran Lawatan Tahunan (AEV) yang berlangsung dua hari berakhir 15 November lalu.
Singapura menjadi tuan rumah kepada AEV tahun 2019, yang menjadi satu saluran bagi kementerian alam sekitar kedua-dua negara membincangkan dan menangani isu alam sekitar.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan MESTECC, Bee Yin dan Masagos melahirkan kebimbangan mengenai jerebu rentas sempadan daripada kebakaran tanah dan hutan di rantau ini, yang menjejaskan rakyat Malaysia dan Singapura.
Kedua-dua menteri mengambil maklum mengenai perkembangan dilakukan negara anggota ASEAN dalam menangani pencemaran jerebu rentas sempadan, dan menggesa semua pihak untuk memperbaharui komitmen mereka dalam melaksanakan Perjanjian ASEAN berhubung Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).
Pada Julai 2013, Malaysia, Singapura dan negara anggota Asean yang lain telah membangkitkan kebimbangan mengenai bahaya "migrasi" jerebu saban tahun dari Indonesia ke negara-negara jiran.
Susulan pencemaran jerebu yang teruk melanda Malaysia dan Singapura, negara-negara Asean telah menggesa Indonesia untuk segera meratifikasi Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ATHP), yang ditandatangani pada Jun 2002.
Indonesia ialah satu-satunya negara anggota Asean yang tidak menandatangani perjanjian itu yang dikuatkuasakan pada November 2003, walaupun negara itu adalah "penyumbang terbesar" masalah jerebu merentas sempadan.
#jerebu rentas sempadan #alam sekitar #Platform ASEAN #ATHP
;