Kerajaan GRS perlu ikut titah Agong, buka sidang DUN Sabah

Astro Awani
Jun 17, 2021 14:05 MYT
Kerajaan Sabah wajar membuka sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah wajar membuka sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan membuka sidang Parlimen di peringkat Persekutuan.
Ketua Dapsy Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, persidangan DUN Sabah itu membolehkan ahli-ahli dewan membahaskan isu-isu rakyat Sabah terutama berkaitan usaha menangani COVID-19 dan program imunisasi di negeri itu.
"Saya menyeru kerajaan negeri untuk mengikuti titah Yang di-Pertuan Agong agar persidangan DUN Sabah dikembalikan supaya ahli-ahli dewan dapat membahaskan isu-isu rakyat negeri ini.
"Ahli-ahli dewan harus diberi peluang untuk menyuarakan pandangan dan suara hati rakyat serta memberi pendapat membina dalam sidang DUN. Ini adalah munasabah kerana persidangan DUN Pahang akan disambung semula pada pertengahan Ogos," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
BACA: Ini peluang ahli parlimen buktikan kekuatan Parlimen sebagai medan suara rakyat
BACA: Parlimen perlu bersidang secepat mungkin - Agong
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Tambah Jin Zhe, kenyataan Istana Negara itu menyedarkan pemimpin parti pemerintah Sabah yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan untuk meminta lanjutan tempoh darurat.
"Walaupun negara dilanda krisis, demokrasi berparlimen tidak boleh diabaikan. Dasar negara dan negeri tidak boleh memintasi persidangan Parlimen atau DUN. Sebarang niat untuk menjalankan diktator di sebalik darurat ini, atau yang diumpamakan 'udang di sebalik batu', tidak akan berjaya.
"Saya juga melihat keputusan Seri Paduka Baginda itu menunjukkan kemuliaan mempertahankan demokrasi berparlimen negara. Segala keputusan yang dibuat kerajaan terutama berkaitan ekonomi sosial, belanjawan kerajaan dan dasar anti COVID-19 harus menerusi sistem demokrasi berparlimen yang mana ahli parlimen mewakili suara rakyat," katanya.
#Buka DUN Sabah #kerajaan GRS #Phoong Jin Zhe #DAPSY Sabah #Pandemik COVID-19
;