Kerajaan giat tangani kesesakan CIQ Bangunan Sultan Iskandar

Bernama
Mac 22, 2023 13:40 MYT
Onn Hafiz berkata, isu kesesakan CIQ itu bukanlah perkara baharu, namun ia tidak mematahkan semangat kerajaan Persekutuan dan negeri untuk bekerjasama menanganinya secepat mungkin. -Gambar fail/Bernama
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Persekutuan sedang giat menangani isu kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dengan pelbagai usaha, termasuk menambah laluan M-Bike dan E-Gate.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata selain itu, kerajaan pusat turut melaksanakan inisiatif penggabungan kaunter bagi laluan kereta, sekali gus melancarkan proses pemeriksaan pasport dan lain-lain.
Katanya ramai yang sedia maklum mengenai kesesakan di CIQ yang sering dibangkitkan, dan isu itu bukanlah perkara baharu, namun ia tidak mematahkan semangat kerajaan Persekutuan dan negeri untuk bekerjasama menanganinya secepat mungkin.
Semasa menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini, beliau berkata dengan memperluaskan penggunaan autogate misalnya, kini bukan sahaja warganegara tempatan menggunakannya kemudahan itu, tetapi juga warga Singapura.
"Dari segi penggabungan kaunter pula, contohnya di Tambak Johor, kita sedang siapkan empat zon. Sekarang ini kereta terpaksa berhenti dua kali untuk clearkan pasport dan Touch 'n Go.
"Selepas ini Yang Berhormat Speaker, akan berhenti sekali (sahaja). Itu antara perkara-perkara yang sedang dibuat oleh kerajaan Persekutuan," katanya
Onn Hafiz berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) yang ingin mengetahui usaha kerajaan menangani kesesakan Tambak Johor, terutama dalam memacu pelaburan masuk ke Johor.
Terdahulu Chen mengetengahkan keluhan seorang artis Singapura Wang Lei yang meluahkan rasa tidak puas hati dalam Facebook Live kerana menjadi seorang daripada yang terkandas di Tambak Johor ketika memasuki Johor, yang didakwa mengambil masa lebih tiga jam.
Dalam Bahasa Mandarin, artis berkenaan juga berkata itu bukan perkara baharu, tetapi tetapi telah lama dialami orang ramai yang sering berulang alik ke Singapura-Johor Bahru, sudah berdekad lamanya.
-- BERNAMA
#onn hafiz ghazi #Singapura #Tambak Johor #kesesakan CIQ
;