Kerajaan giat promosi getah, bantu tingkatkan permintaan tempatan

Ridauddin Daud
Mac 27, 2023 11:15 MYT
Aktiviti promosi getah turut meliputi negara-negara berpopulasi tinggi dan berpotensi besar seperti China, India, Indonesia, Vietnam, Mexico, Brazil, Russia, Afrika Selatan, Colombia, Poland, Filipina, Pakistan dan Turki. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa giat mempromosikan produk getah tempatan ke luar negara dalam usaha mempertingkatkan permintaan getah asli tempatan.
Selain itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, kerajaan juga telajh memperkenalkan Dasar Bahan, Barangan dan Perkhidmatan Tempatan Dalam Perolehan Kerajaan.
Menurutnya, inisiatif dilakukan itu diyakini dapat meningkatkan permintaan getah asli tempatan dan mendorong peningkatan harga lantai getah.
Jelasnya, ia akan memberi pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil di luar bandar.
“Kementerian melalui agensi Majlis Getah Malaysia (MRC) sentiasa aktif dalam merangka dan melaksanakan aktiviti promosi untuk meningkatkan eksport produk getah bernilai tinggi seperti sarung tangan getah, tayar, tilam lateks, dan galas getah seismik (tahan gempa bumi) untuk meningkatkan nilai eksport produk getah negara.
“Produk-produk tersebut dipromosikan melalui aktiviti-aktiviti promosi di luar negara seperti pameran perdagangan antarabangsa, misi perdagangan dan padanan perniagaan, seminar pendidikan serta pengiklanan,” katanya.
Tambah beliau, aktiviti promosi itu turut meliputi negara-negara berpopulasi tinggi dan berpotensi besar seperti China, India, Indonesia, Vietnam, Mexico, Brazil, Russia, Afrika Selatan, Colombia, Poland, Filipina, Pakistan dan Turki.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH - Ledang) yang meminta kementerian menyatakan langkah yang diambil dalam mengurus isu harga lantai getah yang membebankan pekebun getah.
#harga getah #promosi #perladangan #komoditi
;