Kerajaan garis klasifikasi, garis panduan rawatan bagi warganegara asing

Harits Asyraf Hasnan
Jun 25, 2020 17:25 MYT
Kerajaan hari ini menggariskan klasifikasi berkenaan kemasukan warganegara asing ke Malaysia bagi tujuan perubatan. - Gambar fail
Kerajaan hari ini menggariskan klasifikasi berkenaan kemasukan warganegara asing ke Malaysia bagi tujuan perubatan (healthcare travellers).
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata fasa pertama pelaksanaan kebenaran tersebut terpakai dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan sekatan perjalanan antarabangsa yang sedang berkuat kuasa.
“Bagi fasa 1A, hanya kes evakuasi perubatan (medical evacuation) sahaja yang dibenarkan. Ini melibatkan pesakit kritikal yang memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau Unit Dependensi Tinggi (HDU).
“Bagi fasa 1B pula, kebenaran ini melibatkan pelancong kesihatan yang mempunyai masalah kesihatan yang serius seperti penyakit barah (oncology), jantung (cardiology) dan penyakit-penyakit lain.
“Warganegara asing yang terlibat perlu mendapatkan surat temujanji terlebih dahulu daripada Hospital yang berdaftar dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya lagi, kebenaran bagi fasa pertama tersebut hanya bagi perjalanan ke Malaysia melalui laluan udara sahaja dengan seorang penjaga dibenarkan untuk dibawa bersama.
Bagaimanapun, bagi pesakit dibawah umur 12 tahun, mereka dibenarkan untuk membawa dua orang penjaga yang perlu berada dalam bilik yang sama dengan pesakit sepanjang tempoh rawatan.
Selain itu, warganegara asing yang ingin ke Malaysia bagi rawatan, selain daripada membuat temujanji, perlu menjalani saringan COVID-19 tiga hari sebelum masuk ke pintu sempadan negara dan melengkapkan syarat pra-kemasukan termasuk bayaran kos perubatan serta memuat turun aplikasi MySejahtera.
#ismail sabri yaakob #keselamatan #koronavirus #pelancong #pelancongan #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #perubatan #PKPP #unit rawatan rapi
;