Kerajaan gandakan usaha penuhi janji pilihan raya - Tun Mahathir
Astro Awani
Disember 19, 2018 05:58 MYT
Disember 19, 2018 05:58 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan menggandakan usaha dalam memenuhi janji-janji yang dibuat, terutamanya berkaitan janji pilihan raya.
Katanya, apabila kerajaan mengalami defisit kepercayaan, ia akan mula ditolak rakyat.
Rakyat kemudian akan menggunakan suara mereka melakukan apa sahaja untuk menumbangkan kerajaan itu, tambahnya.
"Adalah amat penting sekali bagi kerajaan dipercayai rakyat dan memenuhi janji-janjinya.
"Bila adanya kegagalan mendapatkan kepercayaan rakyat, kerajaan yang paling kuat sekalipun akan tumbang.
"Dan kerajaan sekarang amat menyedari hal ini, memang janji-janji telah dibuat sebelum kita mendapat kuasa," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Siri Kepimpinan Dr Mahathir Mohamad di sini pada Rabu.
Dr Mahathir berkata Pakatan Harapan, ketika itu, masih sebagai pembangkang, membuat janji dengan jangkaan mereka akan kalah.
"Janji-janji itu adalah untuk kerajaan yang berkuasa, jadi jika mereka menang mereka akan mendapati janji itu sukar untuk dipenuhi.
"Nasib baik atau tidak bernasib baik kami menang dan kini kami perlu menggandakan usaha kami untuk memenuhinya.
"Tentu sekali kadang kala janji itu sukar untuk dipenuhi tetapi sama ada sukar atau tidak, seseorang itu mestilah menunjukkan ia cuba melakukan yang terbaik untuk memenuhinya.
"Sesebuah kerajaan hanya boleh terus diberi kuasa jika ia boleh dipercayai, kita mesti penuhi apa yang telah kita janjikan," kata beliau.
#defisit kepercayaan
#janji
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#pilihan raya
#rakyat