Kerajaan fokus hapus kemiskinan tegar menjelang 2025 - Mustapa

Nursyazwani Saiful Sham
Disember 21, 2021 10:38 MYT
Bermula Mac tahun hadapan kerajaan akan bekerja rapat dengan pihak berkepentingan dalam menangani isu tersebut di seluruh negara. -Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Kerajaan terus komited untuk menghapuskan miskin tegar menjelang tahun 2025, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Untuk tujuan itu jelasnya, Unit Kemiskinan di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang ditubuhkan akan menyelaraskan hal-hal dasar berkenaan pembasmian kemiskinan di peringkat nasional.
Usaha tersebut adalah antara tiga fokus yang digariskan dalam laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia ke-25 yang diterbitkan oleh Bank Dunia selain usaha meningkatkan pendapatan isi rumah dan penggubalan pelaksanaan dasar.
Jelasnya, bermula Mac tahun hadapan kerajaan akan bekerja rapat dengan pihak berkepentingan dalam menangani isu tersebut di seluruh negara.
"Pada bulan Mac tahun depan, kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, pertubuhan masyarakat sivil, dan sektor swasta dalam melaksanakan program pembasmian kemiskinan tegar di kawasan termiskin di Malaysia.
"Kami akan menggunakan pendekatan holistik dan bersasar untuk membasmi kemiskinan tegar di kira-kira 50 lokaliti di seluruh Malaysia.
"Tiada satu penyelesaian yang sesuai untuk semua kemiskinan. Justeru kerajaan akan merangka strategi khusus, berdasarkan ciri unik setiap lokaliti," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia ke-25 dengan tema "Staying Afloat" selari usaha kerajaan selama 21 bulan lepas dalam melindungi dan memperkasa kehidupan rakyat Malaysia susulan pandemik COVID-19.
Antara lain, menurut Mustapa, Malaysia berhasrat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.
Berdasarkan unjuranya Bank Dunia, Malaysia dijangka melebihi ambang yang mentakrifkan ekonomi berpendapatan tinggi pada satu ketika antara 2024 hingga 2028.
Salah satu isu untuk mencapai hasrat tersebut adalah kadar upah yang jauh lebih rendah.
Terdapat dua strategi utama yang digariskan bagi menambah baik nisbah pampasan kerja (CE).
"Dua strategi penting untuk mencapai matlamat40% CE ialah pertama sekali, meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti.
"Kedua adalah meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET dalam negara untuk memenuhi permintaan industri," jelasnya.
Seperti yang dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-12, Mustapa memaklumkan kerajaan bercita-cita tinggi dalam mencapai perkara yang disasarkan tersebut.
Justeru itu, kerajaan akan terus bekerja rapat bersama Bank Dunia dan organisasi antarabangsa lain termasuk sektor swasta dan sektor awam dalam meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia.
#ekonomi #kemiskinan tegar #Datuk Seri Mustapa Mohamed
;