Kerajaan fokus 91,000 hektar tanah terbiar untuk tanaman padi

Bernama
Disember 7, 2024 06:30 MYT
Mohamad melihat proses tanaman padi mengunakan jentera mesin menanam padi ketika mengadakan lawatan turun padang di Skim Padi Terachi Batu 14, Kampung Gedang, Kuala Pilah, 7 Dis 2024. --fotoBERNAMA
KUALA PILAH: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi tumpuan kepada pembangunan tanah terbiar seluas kira-kira 91,000 hektar di seluruh negara untuk tanaman padi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata usaha tersebut termasuk memanfaatkan tanah terbiar di kawasan luar jelapang padi seperti di Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor.
“Fokus kementerian adalah mengusahakan kawasan sawah padi terbiar atau yang berpotensi, terutama di kawasan luar jelapang padi seperti Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor. Kawasan ini memerlukan sistem pengairan yang mencukupi, yang menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Kita perlu berusaha memastikan bekalan beras mencukupi kerana kita akan menghadapi masalah jika terus bergantung kepada beras import,” katanya kepada pemberita selepas lawatan turun padang ke Skim Padi Terachi Batu 14, Kampung Gedang, di sini semalam.
Mohamad berkata Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang berusaha memastikan sistem pengairan yang baik bagi kawasan berpotensi untuk diusahakan penanaman padi.
Sementara itu, Mohamad menegaskan bahawa pembangunan kawasan jelapang padi baharu di Sarawak dan Sabah juga adalah langkah penting untuk menangani kesan perubahan iklim, termasuk bencana banjir yang sering melanda kawasan jelapang padi seperti Kedah dan Kelantan.
Dalam pada itu, Jabatan Pertanian Negeri dalam kenyataan memaklumkan bahawa sawah padi di Negeri Sembilan melibatkan keluasan 1,828 hektar, dengan 14 skim pengairan kini diusahakan. Skim tersebut melibatkan 182 pengusaha yang mengusahakan 1,216.50 hektar di kawasan Kuala Pilah, Jelebu, Jempol, dan Tampin.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 3,584 metrik tan hasil pengeluaran padi telah direkodkan daripada kawasan bertanam seluas 786.5 hektar pada tahun ini.
"Sawah padi negeri ini menerima insentif sebanyak RM1.455 juta di bawah Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024, iaitu mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar dengan kerjasama kerajaan negeri manakala program peningkatan hasil padi negeri pula dimanfaatkan sebanyak RM450,000," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#tanah terbiar #Padi #Mohamad Sabu #sistem pengairan
;