Kerajaan fleksibel dalam melaksanakan cukai pelancongan - Nazri
Hilal Azmi
Jun 11, 2017 22:46 MYT
Jun 11, 2017 22:46 MYT
Kerajaan sedia untuk menangguhkan kutipan cukai pelancongan sekiranya wujud permintaan daripada pihak industri, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini.
Katanya, pelaksanaan cukai terbabit amat penting dalam usaha menggerakkan promosi pemasaran pelancongan negara.
"Harapan kita ialah kita dapat kutip pada 1 Julai ini, tetapi jika tak sempat, kita akan anjakkan ke Ogos atau September.
"Semua orang tahu, harga minyak dan gas sudah merudum, jadi, promosi pelancongan bukanlah keutamaan kerajaan buat masa ini.
"Oleh yang demikian, mekanisme cukai pelancongan ini merupakan kaedah paling lestari," katanya ketika ditemui media semasa menghadiri majlis Iftar@KL di Dataran Merdeka pada Ahad.
Mohamed Nazri menegaskan, cukai pelancongan bukanlah suatu yang baharu kerana ia telah lama diperkenalkan di negara selaku destinasi pelancongan terkenal seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.
Pada sidang Dewan Rakyat yang lepas, Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 diluluskan yang antara lain membenarkan pelaksanaan kadar cukai antara RM2.50 dan RM20 bagi penginapan semalam di hotel dan rumah penginapan berdaftar.
Jelasnya lagi, ketika ini kementeriannya sedang berusaha memperhalusi kaedah paling berkesan sebelum memulakan pelaksanaan cukai terbabit.
Tambahnya, selain mempromosikan Malaysia di luar negara, kerajaan akan menggunakan hasil kutipan daripada cukai pelancongan itu untuk membaik pulih prasarana pelancongan.
Jumaat lalu, Mohamed Nazri menegaskan pelaksanaan cukai pelancongan itu akan tetap diteruskan mengikut sasaran mulai 1 Julai ini, menolak dakwaan sebuah portal berita bahawa ia mungkin ditangguhkan.