Kerajaan Filipina hantar kapal bawa keluar kumpulan bertahan di Lahad Datu
Astro Awani
Februari 24, 2013 06:29 MYT
Februari 24, 2013 06:29 MYT
Sebuah kapal dihantar kerajaan Filipina dalam usaha membawa keluar kumpulan yang mendakwa mereka ialah tentera diraja Sultan Sulu yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lepas.
Kumpulan 180 anggota itu termasuk 30 pengawal bersenjata akan dibawa pulang dengan sebuah kapal bernombor AT-296.
Kapal tersebut kini berlabuh di tepi pantai sementara rundingan dengan kumpulan itu berlangsung.
Ia belayar dari Bangao, Tawi-Tawi ke perkampungan Tanduo di Lahad Datu.
Jabatan Hal Ehwal luar Filipina dalam satu kenyataan berkata kedutaan Malaysia di Manila telah dimaklumkan mengenai penghantaran kapal itu.
Setiausaha Hal Ehwal luar Filipina Albert F. Del Rosario menggesa kesemua anggota kumpulan itu pulang ke pangkuan keluarga.
Tambahnya Manila sedang berusaha menyelesaikan isu-isu utama yang ditimbulkan kumpulan tersebut.
Pada 12 Februari lalu, lebih 100 lelaki bersenjata yang memakai pakaian celoreng tentera mendarat di pantai Lahad Datu dengan sebuah bot.
Kumpulan itu menuntut supaya mereka diiktiraf sebagai tentera diraja Sultan Sulu dan enggan warga asal Sulu di Sabah dihantar pulang ke Filipina.
Mereka berkampung di Lahad Datu sejak dua minggu lepas.
Kuala Lumpur memberikan masa sehingga 22 Februari untuk kumpulan itu meninggalkan negara ini.
Bagaimanapun, tempoh masa itu dilanjutkan selama 48 jam selepas kerajaan Filipina memohon lanjutan empat hari hingga Selasa atas alasan ia sedang berusaha memujuk kumpulan berkenaan supaya membatalkan pendirian mereka.