Kerajaan dukung titah Sultan Ibrahim teruskan tadbir urus baik - PM

Hasimi Muhamad
Januari 31, 2024 19:00 MYT
Anwar mengajak semua pihak untuk bersama-sama meraikan permulaan tampuk pemerintahan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. - Gambar/ FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan mendukung sepenuhnya titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini yang mahu melihat pentadbiran Malaysia meneruskan tadbir urus yang baik dan telus demi kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan di laman Facebook turut mengajak semua pihak untuk bersama-sama meraikan permulaan tampuk pemerintahan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Jelas beliau, kerajaan senada dengan rakyat memanjat syukur serta menjunjung kasih atas pemerintahan, Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Sesungguhnya, pandangan jauh lagi berwawasan yang dizahirkan oleh Duli Tuanku menerusi peranan penting baginda sebagai Raja Berperlembagaan telah memungkinkan kestabilan politik, sosial dan ekonomi seperti yang kita nikmati dan saksikan pada hari ini.
"Kerajaan Madani mendukung sepenuhnya dan mengalu-alukan titah Baginda sebelum ini yang ingin melihat negara ini meneruskan tadbir urus yang baik, telus, pemacuan ekonomi yang mampan serta memberi sepenuh perhatian kepada usaha meningkatkan darjat hidup rakyat," katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Perdana Menteri menambah, hasrat jutaan rakyat juga ingin terus melihat kestabilan negara demi kemakmuran dan kesejahteraan, serta peluang dan masa depan yang lebih baik untuk semua.
Sultan Ibrahim melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Jan 2019
#Anwar Ibrahim #Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #tadbir urus
;