Kerajaan diseru wujudkan Akta Keselamatan Siber pantau syarikat keselamatan

Azyyati Ahmad
Januari 9, 2023 03:50 MYT
Presiden MCCA Siraj Jalil menyeru kerajaan supaya mewujudkan Akta Keselamatan Siber dengan segera dalam memastikan ada kaedah lesen khas diperuntukkan di bawah akta berkenaan buat syarikat yang menawarkan khidmat keselamatan siber. - Astro AWANI
WP KUALA LUMPUR: Ketika ini banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan kepada sesiapa sahaja dalam bidang keselamatan siber, namun tiada tadbir urus yang jelas dalam mengawal selia dan memantau tugas-tugas mereka dalam menjamin soal kebocoran data.
Susulan itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil, menyeru kerajaan supaya mewujudkan Akta Keselamatan Siber dengan segera dalam memastikan ada kaedah lesen khas diperuntukkan di bawah akta berkenaan buat syarikat yang menawarkan khidmat keselamatan siber.
Jelasnya, sekiranya tiada akta khusus, maka tiada tadbir urus yang jelas dalam memastikan integriti syarikat dalam perlindungan data pengguna.
“Hari ini sesiapa sahaja boleh terjun dalam bidang perkhidmatan keselamatan siber, hari ini ada perkhidmatan dipanggil Pentest atau Penetration Testing yang mana mereka akan menguji, mereka akan menggunakan elemen penggodaman terhadap sesuatu sistem untuk meihat sejauh mana sistem itu selamat, dan mencari lubang-lubang yang perlu ‘ditampal’,
“Jadi, sejauh mana integriti perkhidmatan sebegini, sekiranya tiada tadbir urus yang baik, kita takut mereka yang menjalankan perkhidmatan ini akan mengambil kesempatan ke atas data-data yang terbentuk dan berlakunya kebocoran data bukan disebabkan penggodam tetapi kerana tiadanya integriti dari syarikat perkhidmatan keselamatan siber berkenaan,” katanya.
Justeru, beliau memohon untuk Kerajaan ambil kira dalam mewujudkan akta baharu berkenaan keselamatan siber kerana akta-akta yang ada pada hari ini dilihat tidak menyeluruh dan tidak berada di bawah satu bumbung.
“Hari ini kita ada Akta Perlindungan Data Peribadi di bawah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, adanya Akta Komunikasi Multimedia, dan Akta Jenayah Komputer di bawah PDRM, tetapi ia terpisah-pisah, lebih cantik kalau ada Akta Keselamatan Siber kerana ia lebih menyeluruh,”
“Hari ini nak atau tidak, sekiranya ada akta berkenaan, mungkin akan ada kewajipan untuk semua ada anti virus dalam telefon atau suruhanjaya keselamatan siber yang boleh membantu soal pendidikan di sekolah,” katanya.
Jelas Siraj lagi, dalam dunia teknologi hari ini, fungsi Kerajaan dalam mengadakan polisi yang jelas dilihat penting bukan sahaja membantu memberi saranan tetapi melindungi kita sebagai pengguna.
#keselamatan siber #PDRM #Akta Keselamatan Siber #Siraj Jalil