Kerajaan disaran wujud rebat cukai dan insentif bagi pengimportan peralatan perlindungan diri pekerja

Bernama
Jun 18, 2019 05:30 MYT
Lee berkata ilmu pengetahuan berhubung peralatan perlindungan yang betul adalah kunci kepada usaha memupuk budaya kerja yang selamat dan membantu dalam mengurangkan risiko kecederaan tempat kerja. - Gambar fail
Kerajaan disaran memperkenalkan rebat cukai dan lain-lain insentif bagi pengimportan serta pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE), yang pastinya akan dapat menggalakkan lebih ramai majikan meningkatkan inisiatif bagi melindungi para pekerja mereka.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu kenyataan pada Selasa berkata semasa Malaysia sedang melalui pembangunan yang pesat, tumpuan perhatian perlu diberikan kepada aspek keselamatan di tempat kerja, di samping penggunaan PPE yang berkualiti dan canggih.
"Sekali lagi saya ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk menimbangkan supaya rebat cukai bagi PPE yang diimport dapat diperkenalkan, bagi menjadikan peralatan itu menjadi lebih murah, di samping menggalakkan para majikan mendapatkan PPE lebih berkualiti kepada pekerja mereka. Sebarang rebat cukai PPE akan menjadi insentif bagi membantu dalam usaha menggalakkan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," katanya.
Terdahulu Lee melancarkan produk keselamatan 3M Malaysia, yang diadakan sempena Pameran ke-17 Kejuruteraan Minyak, Gas dan Petroleum Asia (OGA) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Beliau berkata kerajaan seharusnya memberikan insentif kepada para pengimport dan pekilang tempatan yang memperkenalkan PPE bestari dan berkualiti tinggi, termasuk yang menggunakan teknologi terkini seperti pengesan ketepatan tingi, sistem kedudukan global (GPS) dan indentifikasi frekuensi radio (RFID).
Lee berkata ilmu pengetahuan berhubung peralatan perlindungan yang betul adalah kunci kepada usaha memupuk budaya kerja yang selamat dan membantu dalam mengurangkan risiko kecederaan tempat kerja yang berpunca daripada bersentuhan dengan bahan kimia, atau radiologi, dan sebagainya.
Menurutnya ramai para majikan merungut mengenai harga PPE import dan canggih yang tinggi, dan kebanyakan mereka mengambil keputusan mencari alternatif lain seperti membeli produk lebih murah dengan kualiti rendah, yang sekaligus mendedahkan kepada para pekerja kepada risiko kecederaan dan jangkitan penyakit di tempat kerja.
-- BERNAMA
#cukai #insentif #keselamatan #Lee Lam Thye #majikan #Pekerja #perlindungan diri #PPE #rebat cukai
;