Kerajaan disaran wujud pasukan petugas tangani krisis keselamatan makanan

Harits Asyraf Hasnan
November 9, 2020 14:06 MYT
Inisiatif penubuhan pasukan gabungan itu perlu diwujudkan tatkala dunia kini berdepan ancaman pandemik COVID-19. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas atau gabungan dalam memastikan industri pertanian dan keselamatan makanan dijamin kelangsungannya.
Penyelidik Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Anis Huszainey berkata inisiatif itu perlu diwujudkan tatkala dunia kini berdepan ancaman pandemik COVID-19.
"Jika kita lihat dari segi keselamatan makanan, kita perlu melihat faktor tempatan dan antarabangsa - ia tidak boleh diambil sebagai satu sektor atau satu hala tuju, sebaliknya melibatkan beberapa sektor.
"Malaysia telah berjaya mengimbangi dan menghasilkan keempat-empat struktur dalam keselamatan makanan ini.
"Saya harap orang ramai dan kerajaan faham betapa pentingnya isu keselamatan makanan ini. Kita sedia maklum berkenaan ancaman COVID-19, jadi penting untuk kita mengadakan sebuah pasukan petugas atau gabungan untuk menangani isu ini pada masa hadapan," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Beliau yang menyambut baik Belanjawan 2021 menyifatkan, ia sebuah belanjawan holistik yang akan merangkumi pelbagai kementerian dan agensi dalam usaha memastikan kelangsungan jaminan keselamatan makanan di negara ini.
"Contohnya, inisiatif yang dikemukakan adalah pengedaran Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming.
BACA: Gerakkan koperasi pertanian seluruh negara, pelihara jaminan bekalan makanan - Aktivis
"Dengan ini, keperluan makanan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak dapat dinikmati 1.1 juta rakyat dengan harga yang terkawal.
"Selain itu, terdapat juga subsidi bantuan dan inisiatif untuk petani dan nelayan selain insentif tanaman padi.
"Malah, Kementerian Pendidikan juga ada peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk memanfaat pengeluar susu tempatan bagi membekalkan susu berkhasiat kepada pelajar setiap hari," ujarnya.
Tambahnya, Malaysia kini berada di tangga kedua terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura dalam pengurusan jaminan keselamatan makanan.
#ISIS #Keselamatan makanan #jaminan keselamatan makanan #pandemik #COVID-19 #subsidi #pendidikan #Kementerian Pendidikan #keperluan asas #makanan asas #makanan ruji #nelayan #kerajaan #Belanjawan 2021
;