Kerajaan disaran wujud bank pekerjaan bantu golongan hilang kerja - Shahril

Fareez Azman
November 2, 2020 18:59 MYT
Shahril mencadangkan setiap pekerja diberi gaji RM1,500 sebulan melalui skim berkenaan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan mewujudkan skim jaminan pekerjaan atau 'bank pekerjaan' untuk mengajikan pekerja yang kehilangan pekerjaan.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata langkah itu akan mewujudkan situasi menang-menang bagi golongan pekerja yang terjejas serta kerajaan.
"Kerajaan boleh membelanjakan sejumlah wang untuk mengambil lebihan bekalan buruh dan menggajikan mereka untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti membina model ekonomi dan masyarakat yang kita mahukan.
"Contoh? Infra (infrastruktur)... Berapa banyak sekolah yang perlu baik pulih asas untuk menceriakan persekitaran pembelajaran? Kerja baik pulih sekolah-sekolah dan taman-taman permainan di serata negara (boleh diberikan kepada kumpulan ini)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, skim itu perlu meliputi pelbagai sektor termasuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi, digitalisasi, terjemahan, pembantu guru
"NGO-NGO perlu lebih banyak tenaga kerja untuk pembersihan pantai? Kerajaan sediakan “individu-individu” tersebut. Digitalisasi pula, berapa banyak perpustakaan hatta agensi kerajaan di negara ini yang masih menggunakan sistem pemfailan manual?
"Bayangkan dengan tenaga kerja untuk mendigitalisasi dokumen-dokumen tertentu," katanya.
"Jadi, adakah kita hendak terus dengan situasi sekarang, atau kita mahu menyelam sambil minum air: selesaikan pengangguran di samping membina masyarakat yang lebih murni, moden, hijau, penyayang?," ujar Shahril.
Beliau seterusnya mencadangkan setiap pekerja menerima gaji RM1,500 sebulan.
"Andaikan maksimum sejuta orang mengambil skim ini, bersamaan RM1.5 bilion sebulan atau RM18 bilion setahun. Ya, banyak, tetapi tidaklah terlalu besar sehingga di luar imaginasi dan kreativiti Kerajaan.
"Pengangguran bukan “percuma” untuk kerajaan. Tetap ada kos. Baik dari segi perbelanjaan tunai dan kebajikan oleh agensi-agensi kerajaan atau dari segi kos sosial tidak langsung yang mungkin lebih besar daripada RM18 bilion," tegasnya.
Justeru, Belanjawan 2021 ujar Shahril diharapkan mempunyai inisiatif seumpama itu bagi memberi manfaat ekonomi kepada rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19.
#UMNO #COVID-19 #Bank Pekerjaan #ekonomi rakyat #Belanjawan 2021 #Ketua Penerangan UMNO #Shahril Hamdan #tenaga kerja #Golongan Hilang Pekerjaan #Belanjawan 2021 Pekerjaan
;