Kerajaan disaran turun harga barang sebelum hapuskan BR1M

Bernama
Ogos 28, 2018 19:14 MYT
MUHAMMAD NUR: Harga barang mesti diturunkan terlebih dahulu supaya mereka (rakyat) tidak sengsara.
Kerajaan disaran menurunkan harga barang terlebih dahulu sebelum menghapuskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup, kata Senator Dr Muhammad Nur Manuty.
"Harga barang mesti diturunkan terlebih dahulu supaya mereka (rakyat) tidak sengsara kerana pendapatan yang sedikit dan mengalami kemiskinan yang berterusan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Anggota Dewan Negara itu mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan berkata pentadbirannya berhasrat mengurangkan BR1M secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya.
Muhammad Nur berkata dalam masa yang sama kerajaan juga harus menyediakan prasarana yang lebih kondusif agar tidak membebankan golongan kurang berkemampuan terutamanya dalam kalangan penerima bantuan tersebut.
Mengulas lanjut, Muhammad Nur berkata beliau bersetuju dengan pendapat Perdana Menteri bahawa tidak selamanya rakyat perlu diberikan bantuan atau diistilahkan sebagai 'tongkat'.
Katanya jika negara ingin mencapai status negara maju, kemiskinan harus dikurangkan namun rakyat tidak sepatutnya hanya berharap kepada bantuan kerajaan semata-mata.
-- BERNAMA
#Bantuan Sara Hidup #BR1M #harga barang #kos sara hidup #Muhammad Nur Manuty #rakyat #senator
;