Kerajaan disaran terus gubal dasar bantu golongan B40
Bernama
Disember 7, 2022 04:06 MYT
Disember 7, 2022 04:06 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk terus menggubal dasar yang dapat membantu mengurangkan harga barangan bagi meringankan beban rakyat daripada kelompok berpendapatan rendah (B40) yang kini berdepan isu kos sara hidup.
Presiden Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia Darshan Singh turut menggesa kerajaan agar memastikan stok bekalan barang keperluan rakyat di negara ini mencukupi bagi menampung permintaan pengguna.
"Kita juga berharap kerajaan akan bekerja keras mewujudkan peluang ekonomi untuk rakyat. Rakyat Malaysia memang bekerja keras, kalau ada peluang mereka selalu ambil peluang itu untuk menambah pendapatan isi rumah mereka.
"Kami berharap kerajaan dapat menggubal dasar-dasar perkembangan ekonomi supaya pengguna dapat menambah pendapatan isi rumah di samping kerajaan menggubal dasar membantu golongan memerlukan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup," katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan malam tadi.
Berpendapat keluhan mengenai kos sara hidup akan sentiasa wujud, Darshan berkata adalah menjadi keutamaan kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil langkah segera dalam menangani isu tersebut.
"Kami teruja Perdana Menteri telah mengambil isu ini sebagai isu utama untuk ditangani. Jadi kita harap ada satu penyelesaian jangka pendek untuk membantu mereka yang memerlukan. Kami harap ada satu bantuan pada masa ini yang amat diperlukan oleh pengguna," katanya.
Pengarah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Atan Sapian pula berkata kejayaan kerajaan mengawal kadar inflasi negara turut didorong oleh inisiatif pemberian subsidi bantuan kepada rakyat.
Justeru, beliau percaya kerajaan pimpinan Anwar akan meneruskan dasar baik oleh kerajaan terdahulu yang memberikan manfaat kepada rakyat dan juga negara.
"Kalau kita lihat dalam tempoh tiga bulan lepas, inflasi di Malaysia kita boleh kata agak stabil. Kenapa inflasi dapat dikawal, betul kerajaan sebelum ini telah memperuntuk bantuan yang tinggi sehingga mencecah RM80 bilion.
"...kerana bantuan kerajaan, saya pasti ia telah beri kesan kepada kadar inflasi. Saya ingat perkara ini baik, sudah tentu akan diteruskan oleh kerajaan baharu," katanya.
-- BERNAMA