Kerajaan disaran perkenal polisi 'helicopter drop' kepada industri sukan
Bernama
Jun 4, 2020 07:15 MYT
Jun 4, 2020 07:15 MYT
Kerajaan disaran memperkenalkan polisi 'helicopter drop' kepada industri sukan negara bagi membantu pemain industri terus kekal relevan dalam pasca pandemik COVID-19.
Cadangan itu dikemukakan pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohd Sadek Mustaffa, sebagai alternatif untuk merangsang kembali ekonomi dalam sektor sukan yang terjejas sejak lebih tiga bulan lepas.
"Tanpa sukan, dunia sunyi dan itu realitinya. Melihatkan bahawa pentingnya sukan ini bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga kestabilan politik dan kestabilan sosial itu sendiri.
"Kerajaan perlu membuat satu polisi yang berani, dalam istilah ekonomi ia dipanggil 'helicopter drop' iaitu mengaktifkan semula dana kepada industri sukan. Setakat ini, saya tidak nampak secara spesifik pengumuman kerajaan tentang satu dana khas untuk industri sukan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Bicara Sukan UiTM Edisi II yang membincangkan sejauh mana industri sukan Malaysia terkesan akibat pandemik COVID-19 yang disiarkan secara langsung di YouTube, semalam.
Teori ‘helicopter drop’ adalah berdasarkan anggapan asas bahawa wang yang disalurkan terus ke akaun bank akan mendorong masyarakat membelanjakan sebahagiannya untuk barang dan perkhidmatan, meningkatkan permintaan terhadap produk dan membantu ekonomi supaya bertahan.
Mohd Sadek turut mencadangkan agar Kementerian Kewangan memperkenalkan satu sistem kewangan khas dengan mengambil contoh model pelaburan diguna pakai oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menurut beliau, dengan wujudnya sistem sedemikian, ia akan memanfaatkan kesemua pemain industri sukan terutama membantu meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan membuat pelaburan ke dalam badan kewangan ini.
"Kita tiada satu institusi kewangan yang mendokong industri sukan. Kementerian Kewangan perlu melihat semula bagaimana model digunakan oleh BSN atau PTPTN yang boleh kita terapkan dalam membantu penggiat sukan sama ada PKS atau bukan.
"Ini penting kerana institusi ini boleh memberi suntikan permulaan atau sebagai solusi kepada apa sahaja permasalahan dihadapi pemain industri dalam mengembangkan industri ini dengan kos margin yang kecil dari segi faedah. Jadi manfaat ini boleh dinikmati pemain yang melabur dalam institusi tersebut," tambah beliau.
Sementara itu, beberapa ahli panel dalam program tersebut yang juga merupakan pemain industri sukan negara mengakui terkesan dengan pandemik COVID-19.
Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL), Datuk Radha Krishnan, berkata pengalaman mengemudi syarikat ketika negara dilanda krisis kewangan Asia (AFC) 1997-1999 sedikit sebanyak membantu syarikatnya ketika ini.
"COVID-19 telah menjejaskan terus perniagaan sukan, ramai majikan menghadapi masalah membayar bil, sewa serta gaji pekerja. Kami belajar sesuatu dari krisis kewangan Asia pada 1998...oleh itu pada masa itu, kami mengambil beberapa langkah supaya tidak terjejas teruk kali ini.
“Apa yang kami lakukan adalah memastikan tahap stok dan inventori dikawal sehingga berjaya mengurangkan kesan terhadap perniagaan kami,” katanya.
Pada masa sama, Pengarah Eksekutif Kumpulan The RS Group, R. Subramaniam berkata COVID-19 memberi impak negatif serta positif terhadap syarikatnya.
"Walaupun kini kami mula beroperasi, cara bekerja telah berubah mengikut prosedur operasi standard (SOP). Jadi kos untuk kita menyiapkan kerja bertambah dan ini memberi kesan dari segi keuntungan yang berkurangan.
"Tetapi yang positifnya kami dapat menyusun semula strategi yang sebelum ini kami tidak mempunyai masa untuk lakukan. Jadi kami dapat memahami semua pekerja dengan lebih baik selain dapat melihat kekurangan dari segi pengurusan," tambahnya.
-- BERNAMA
#bank
#BSN
#COVID-19
#dana
#helicopter drop
#industri sukan
#kekal relevan
#kestabilan politik
#kestabilan sosia
#MARA
#model
#Mohd Sadek Mustaffa
#pandemik
#pelaburan
#pemain industri
#pendidikan
#pensyarah
#PKS
#PTPTN
#sistem kewangan khas
#SOP
#terkesan