Kerajaan disaran pelbagaikan bantuan kepada penternak lembu
Bernama
September 30, 2019 11:12 MYT
September 30, 2019 11:12 MYT
Dari jauh, kelihatan seorang lelaki berusia lewat 40-an sedang asyik memandikan beberapa ekor lembu di sebuah kandang kecil yang terletak di Kampung Sungai Badau, Krubong.
Sesekali Bahari Said, 48, menjerit 'baaaaa...,baaaa..baaa' memberi arahan agar haiwan ternakannya itu bergerak ke kanan bagi membolehkannya membersihkan lantai di kandang yang hanya mampu memuatkan antara lima hingga tujuh ekor lembu sahaja.
"Masalah sukar mendapat rumput dan harga makanan lembu yang tidak menentu adalah perkara utama yang dihadapi penternak lembu kecil-kecilan seperti saya. Jika kerajaan bercadang untuk memperkenalkan bantuan baka lembu secara percuma, ia ibarat 'durian runtuh' bagi kami.
"Dengan modal yang sedikit, sukar bagi saya untuk tambah bilangan lembu, untung yang diperoleh hanya cukup-cukup dijadikan modal pusingan," katanya kepada Bernama di sini.
Bahari berkata demikian apabila ditanya tentang hasrat kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memperkenalkan Skim Rezeki Ternak pada tahun depan bagi menarik lebih ramai penternak baharu sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada daging import.
Sambil menyambut baik usaha kerajaan itu kerana dapat membantu penternak kecil mengembangkan lagi perusahaan mereka yang tidak seberapa, dia berhasrat untuk memajukan lagi penternakan lembunya jika terpilih, tambahan pula dia telah mempunyai kandang lembu sendiri.
"Kalau ingin harapkan modal sendiri dengan keadaan ekonomi hari ini, hanya ini yang mampu saya lakukan... bela dua atau tiga ekor lembu sahaja," katanya.
Turut berkongsi pendapat yang sama, Ramlan Ismail, 44, berharap pihak yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan skim tersebut dapat melakukan agihan secara telus dan hanya memilih peserta yang berkelayakan sahaja.
"Saya yakin kerajaan mampu membaiki kelemahan yang ada pada sistem sebelum ini dan peserta yang dipilih nanti perlu amanah dan bersungguh-sungguh dalam menjayakan skim ini," katanya.
Sementara itu, penternak lembu, Zulkifli Omar, 31 dari Melaka Pindah, Alor Gajah berkata pihak berwajib yang diberi kepercayaan untuk menjalankan usaha ini perlu membuat tapisan dengan teliti agar hanya mereka yang benar-benar layak sahaja dipilih untuk menerima bantuan itu.
"Bagi saya ini satu usaha yang baik, namun peserta yang dipilih perlulah daripada mereka yang berminat dengan penternak lembu dan tidak hanya berminat untuk dapat lembu secara percuma dan mengambil kesempatan daripadanya," katanya yang mentenak lebih 70 ekor lembu yang diusahakan bersama dua orang rakan kongsinya.
Katanya sekiranya pemilihan dilakukan secara tepat, hasil daripada usaha ini turut dapat membantu penternak lain mengembangkan perusahan mereka ke skala yang lebih besar.
"Saya cadangkan agar pihak berkenaan melakukan pemeriksaan terhadap pemohon sama ada mempunyai kandang sendiri, tanah serta mempunyai minat terhadap bidang ini sebelum dipilih untuk menyertai skim ini," katanya yang mempunyai pengalaman lebih 12 tahun dalam penternakan lembu.
Zulkifli turut mencadangkan agar kerajaan mempelbagaikan bantuan kepada penternak lembu, antaranya dari segi nasihat kesihatan dan penggunaan teknologi baharu agar mereka dapat bertahan lama dalam industri ini.
-- BERNAMA
#Alor Gajah
#bantuan
#ekonomi
#kandang
#Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
#lembu
#Melaka
#penternakan lembu
#Skim Rezeki Ternak
#teknologi baharu
#ternak