Kerajaan disaran kuat kuasa POTA sebaik mungkin - Mukhriz
Bernama
Ogos 3, 2015 10:33 MYT
Ogos 3, 2015 10:33 MYT
Kerajaan disaran menguatkuasakan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) sebaik mungkin bagi menghalang penyebaran sebarang anasir jahat yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum di negara ini.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata ini kerana rakyat sudah muak dengan pelbagai kenyataan yang dilontarkan oleh sesetengah pihak sejak kebelakangan ini yang langsung tidak menjaga sensitiviti masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.
Katanya, beliau secara peribadi kecewa dengan pemansuhan undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan ke atas pihak yang cuba memporak-perandakan negara.
"Ia digantikan oleh POTA. Ini undang-undang baharu yang kita harap akan dikuatkuasakan sebaik mungkin.
"Ini perlu sebab percayalah saya rasa tak mustahil kalau ada musuh-musuh dari luar negara sebenarnya bertujuan nak porak-perandakan keamanan yang kita nikmati di Malaysia.
"Kita tidak tahu mereka ini sebenarnya mungkin mempunyai agenda politik, sengaja mencetuskan (perbalahan) di pihak kita atau langsung tiada sifat sayangkan keamanan," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Raja di sini, pada Ahad.
Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang bertujuan membanteras kegiatan keganasan di negara ini diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada April lepas.
#Akta Keselamatan Dalam Negeri
#Akta Pencegahan Keganasan
#Mahathir Mohamad
#Mukhriz Mahathir
#Ordinan Darurat
#pota