Kerajaan disaran kaji semula kontrak bekalan alat ketenteraan dari Perancis

Fauzi Suhaimi
Oktober 31, 2020 10:05 MYT
Kapal selam Scorpene milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dibekalkan teknologinya oleh syarikat Perancis. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mengkaji semula semua kontrak bekalan peralatan ketenteraan dari Perancis.
Bekas Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Akhramsyah M U Sanusi berpendapat tindakan itu dikhuatiri akan membahayakan negara jika rakan kongsi negara berkenaan terus mengamalkan sikap anti Islam.
"Saya mengesyorkan pihak Kerajaan Malaysia untuk menilai kembali seluruh hubungan ketenteraan terutama bekalan peralatan dari Perancis, baik apa-apa pergantungan sedia ada terhadap kapal-kapal selam Scorpene, kapal-kapal Frigate, kapal terbang Airbus A400M mahupun apa-apa rencana untuk masa hadapan, yang berkait dengan Perancis wajar setidak-tidaknya ditangguhkan kalau tidak dibatalkan sama-sekali.
"Kerana sesungguhnya, bukan sekadar aneh tetapi membahayakan jika sebuah negara majoriti dan berkepimpinan Islam seperti Malaysia boleh terus yakin akan keikhlasan rakan kongsi ketenteraan dari negara yang dipimpin seorang yang anti-Islam seperti Presiden Perancis, Emmanuel Macron sekarang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Akhramsyah berkata lebih merunsingkan lagi apabila seolah-olah tiada tindakan jelas kerajaan bertindak balas terhadap kesangsian yang timbul apabila kerajaan Perancis berlaku begitu anti-Islam.
Jelasnya, ini seharusnya membawa kepada kesedaran risiko besar berpunca daripada terlalu banyak peralatan kritikal pertahanan negara dibekalkan dan masih diselenggarakan oleh syarikat-syarikat Perancis.
"Perancis bukan sekadar membekalkan kapal selam Scorpene ke Malaysia, malah kesemua kapal Frigate kelas KD Maharaja Lela dibekalkan teknologinya oleh syarikat Perancis dan masih didukung penyelenggaraannya oleh pembekal-pembekal negara tersebut.
"Malah, menjadi bahan kritikan utama yang pembuatan kapal-kapal tersebut oleh anak-anak syarikat Boustead Holdings milik majoriti Lembaga Tabung Angkatan Tentera terlalu kurang unsur perkongsian teknologinya.
"Ini bermaksud Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih terpaksa bergantung kepada bantuan kepakaran Perancis.
"Pembekalan ketenteraan Perancis tidak terhad kepada TLDM sahaja, contohnya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih menggunakan kapal terbang Airbus A400M yang dibekalkan syarikat Airbus Defence and Space yang mana pemegang saham terbesarnya Perancis (11.1 peratus).
"Difahamkan malah kapal terbang-kapal terbang tersebut masih diselenggarakan oleh anak syarikat Airbus di Malaysia dan ia seharusnya amatlah mencemaskan apabila peralatan ketenteraan negara kita masih bergantung kesiap-sediaannya kepada pakar-pakar runding dari sebuah negara yang presidennya sedia memaparkan dirinya sebagai anti-Islam," katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang guru sekolah di Perancis, Samuel Paty dibunuh dengan kejam apabila kepalanya dipenggal oleh seorang lelaki Rusia berketurunan Chechen pada 16 Oktober lalu.
Guru terbabit sebelum itu menunjukkan karikatur didakwa Nabi Muhammad SAW yang menyebabkan 12 orang dibunuh dalam serangan di pejabat Charlie Hebdo pada 2015.
Macron bagaimanapun mempertahankan tindakan guru berkenaan, sehingga menyebabkan protes besar-besaran di kebanyakan negara Islam.
#Emmanuel Macron #peralatan ketenteraan #Perancis #Anti Islam #Bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera Ak #TUDM #TLDM #Charlie Hebdo #serangan #tentera #protes
;