Kerajaan disaran buka semula pusat kuarantin wajib
Fauzi Suhaimi
Julai 20, 2020 17:37 MYT
Julai 20, 2020 17:37 MYT
Kerajaan disarankan agar memperkenalkan semula pusat kuarantin wajib khususnya buat mereka yang pulang dari luar negara.
Pakar Epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, langkah itu penting bagi memastikan penularan jangkitan COVID-19 boleh dikawal selain mampu memutuskan rantaian wabak berkenaan.
Katanya, langkah itu juga dilihat lebih berkesan berbanding proses kuarantin wajib di rumah yang boleh diragui khususnya dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Pemahaman terhadap SOP kuarantin wajib di rumah masih rendah. Sedangkan, perkara itu memerlukan mereka duduk di dalam bilik selama 14 hari tanpa berjumpa dengan sesiapapun termasuk ahli keluarga.
"Ini kerana, jika mereka masih berjumpa dengan orang lain walaupun tidak bergejala, mereka masih boleh menjangkiti dan ini menyebabkan wujudnya kluster baharu," katanya ketika ditemubual menerusi Buletin AWANI Khas pada Isnin.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin menzahirkan kebimbangan terhadap penularan COVID-19 di negara ini selepas 13 kluster baharu dikesan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Dalam pada itu, Awang Bulgiba yang juga Presiden Konsortium Akademik Kesihatan Awam Asia-Pasifik Kuala Lumpur berkata, kos untuk mencari, mengesan dan merawat jauh lebih tinggi berbanding membuka semula pusat kuarantin wajib seperti yang dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, ini kerana, negara hanya memerlukan satu super spreader sahaja untuk menyebar luas jangkitan virus berkenaan.
"Sekiranya ada satu super spreader jangkitan kes ini, saya percaya ia akan menyebabkan penularan wabak sekali gus meningkatkan kadar jangkitan.
"Kalau semua ini terjadi, kos untuk mengesan, mencari dan merawat mereka yang telah dijangkiti jauh lebih tinggi berbanding meletakkan mereka di pusat kuarantin untuk elak penularan kes," jelasnya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan disarankan untuk mengambil pendekatan pemakaian pelitup muka secara mandatori.
"Pada awal semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenal, ramai memakai pelitup muka tetapi sekarang nampak ada yang sudah leka dan tidak pakai.
"Sehubungan itu, saya sarankan agar kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka sebab virus masih ada dan kita masih belum putuskan rantaian jangkitan ini," ujarnya.
#keluarga
#kesihatan
#koronavirus
#Kuala Lumpur
#menteri
#Muhyiddin Yassin
#operasi
#Perdana Menteri
#perintah kawalan pergerakan
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#PKP
#PKPP
#presiden
#rumah
#SOP