Kerajaan disaran anjur sidang meja bulat bincang isu kanak-kanak

Irwan Muhammad Zain
Julai 6, 2018 13:00 MYT
NABILAH: Pewangi berharap sidang meja bulat itu dapat memberikan satu penyelesaian lebih konkrit dan praktikal kepada kerajaan untuk mengatasi masalah berkaitan kanak-kanak.
Kerajaan disaran memanggil satu sidang meja bulat untuk membincangkan isu berkaitan kanak-kanak.
Pertubuhan Wanita Dalam Perniagaan dan Pemikiran Kreatif (Pewangi) berpendapat beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kanak-kanak, pakar kanak-kanak dan tokoh-tokoh akademik serta beberapa pihak lain boleh dijemput menyertai sidang meja bulat tersebut.
Presiden Pewangi, Datin Nabilah Sanusi berkata isu berkaitan kanak-kanak boleh dibincangkan antaranya tentang masalah peningkatan kes anak tidak sah taraf.
“Selain itu isu-isu penderaan kanak-kanak dan masalah pusat jagaan anak-anak juga boleh dibincangkan dalam sidang meja bulat tersebut.
“Pewangi berharap sidang meja bulat itu dapat memberikan satu penyelesaian lebih konkrit dan praktikal kepada kerajaan untuk mengatasi masalah berkaitan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Nabilah berkata Pewangi menyambut baik kenyataan oleh Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Hannah Yeoh tentang penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang akan melapor dan membuat cadangan kepada parlimen.
Pada Khamis, Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Hannah Yeoh dilaporkan berkata kerajaan sedang mengkaji untuk menubuhkan suruhanjaya kanak-kanak atau badan bebas kanak yang melapor dan membuat cadangan kepada parlimen.
Ia susulan kematian adik Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif di rumah pengasuhnya di Batu Caves pada Selasa.
#Hannah Yeoh #Kanak-kanak #Nabilah Sanusi #NGO berkaitan kanak-kanak #Pertubuhan Wanita Dalam Perniagaan dan Pemikiran Kreatif #Pewangi #sidang meja bulat
;