Kerajaan diminta selesaikan isu pembangunan di Cameron Highlands - Sivarraajh

Astro Awani
Jun 26, 2018 12:47 MYT
SIVARRAAJH: Semua isu di Cameron Highlands seharusnya dapat diselesaikan secara berperingkat oleh Kerajaan Persekutuan. - Foto fail
Kerajaan diharap memberi perhatian terhadap beberapa isu termasuk pembangunan pelancongan di Cameron Highlands yang menjadi sumber ekonomi penting masyarakat di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh berkata, semua isu berkenaan seharusnya dapat diselesaikan secara berperingkat oleh Kerajaan Persekutuan.
Sivarraajh juga percaya, Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan segala inisiatif dan menyelesaikan isu-isu di Cameron Highlands di atas keprihatinan terhadap masyarakat di sana walaupun beliau seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN).
"Saya percaya dalam era politik baru, Kerajaan Persekutuan akan mengamalkan sikap terbuka dan meneruskan pembangunan di Parlimen Cameron Highlands walaupun ia di bawah pembangkang kerana bagi saya pembangunan di sana amat penting dari segi ideologi dan perbezaan politik.
"Rakyat harus diutamakan dan atas dasar itu saya sedia bekerjasama dan membantu dalam segala inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk membantu masyarakat Cameron Highlands yang terdiri dari DUN Tanah Rata dan DUN Jelai.
"Saya akan membawa segala isu ini ke perhatian setiap kementerian dan kepimpinan Kerajaan Persekutuan pada sesi Parlimen pertama 16 Julai depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Fokus kelancaran trafik dan kemudahan infra di Cameron Highlands - Sivarraajh
BACA: Isu kekurangan tenaga buruh di Cameron Highlands membimbangkan - Sivarraajh
Selain itu jelasnya, antara isu lain di Cameron Highlands adalah berkenaan subsidi dan bantuan eksport hasil pekebun-pekebun kecil, isu pekerja asing yang semakin berleluasa yang memberi kesan negatif terhadap perniagaan dan aktiviti harian penduduk tempatan.
Tambahnya, isu lain adalah penyelenggaraan dan jalan raya baru, isu baikpulihan sekolah dan penerokaan haram hutan yang menganggu ekologi serta alam sekitar.
"Ada juga isu bekalan elektrik dan kemudahan asas kampung masyarakat asli dan penubuhan skim pekebun kecil generasi kedua serta isu pelesenan tanah sementara.
"Isu bekalan air bersih di kebanyakkan tempat juga menjadi tumpuan dan penempatan baru bagi setinggan juga projek perumahan untuk golongan miskin yang telah diluluskan kerajaan sebelum ini.
"Ia termasuk kerja-kerja penyelenggaraan pangsapuri kos rendah seperti pangsapuri LMC dan beberapa isu yang memerlukan perhatian serta sokongan kerajaan persekutuan dan negeri selain pembangunan infra yang berterusan di DUN Jelai," ujarnya.
Jelasnya lagi, semua isu-isu berkenaan sudah dibawa kepada perhatian menteri-menteri kerajaan selain melihatnya harus diberi perhatian dan penyelesaian dengan kadar yang segera.
#Barisan Nasional #Cameron Highlands #ekonomi #pekerja asing #pelancongan
;