Kerajaan diminta perhalusi, perkemas kaedah bantuan kepada orang asli dan miskin - Agong
Bernama
September 8, 2019 14:22 MYT
September 8, 2019 14:22 MYT
Sifat berjiwa rakyat dan penyayang Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terserlah hari ini apabila berkenan mencemar duli melawat perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di sini.
Ketibaan Seri Paduka, yang begitu dekat di hati penduduk Sungai Ruil, tepat pukul 11 pagi disambut kira-kira 500 orang dengan penuh kegembiraan dan keterujaan kerana buat julung kalinya dapat bertemu Al-Sultan Abdullah selepas ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan ke-16.
Dalam titah bersahaja tetapi penuh pesanan dan nasihat, Seri Paduka menzahirkan harapan agar kerajaan dapat memperhalusi serta memperkemas kaedah membantu masyarakat Orang Asli serta golongan miskin supaya mereka dapat memperbaiki kehidupan dalam jangka masa panjang.
"Kalau saya perhatikan dahulu kerajaan ada konsep Felda yang banyak memberi manfaat dan menolong orang susah. Saya harap konsep ini dapat diperkemas, diperhalusi dan diperbesarkan kepada kaum Orang Asli serta masyarakat miskin supaya diadakan sumber jangka panjang untuk anak cucu mereka.
"Saya harap ini dapat dipertimbangkan dan dibincangkan untuk kaji semula kerana saya minta setiap rakyat dibela dan diberi peluang tambah pendapatan dan kekayaan," titah Al-Sultan Abdullah.
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#Cameron Highlands
#Orang Asli
#Orang Asli Sungai Ruil
#Yang di-Pertuan Agong