Kerajaan diminta lanjutkan tempoh saringan pekerja asing - MEF

Fareez Azman
Disember 25, 2020 20:23 MYT
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata tempoh yang ditetapkan sehingga 1 Januari 2021 itu tidak mencukupi bagi majikan membuat saringan pekerja asing mereka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan dimohon melanjutkan tempoh yang diberikan kepada majikan untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas pekerja asing mereka.
Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, tempoh yang ditetapkan sehingga 1 Januari 2021 itu tidak mencukupi bagi majikan membuat saringan pekerja asing mereka.
Malah tambahnya, situasi sukar juga dihadapi oleh majikan apabila klinik panel tidak mempunyai kit ujian yang mencukupi.
"Pertamanya adalah sama ada wajar majikan dikenakan tindakan jika mereka gagal menghantar pekerja asing mendapatkan saringan, kerana kita tahu bahawa untuk dapatkan saringan bukan perkara mudah, harus melalui beberapa prosedur sebelum pekerja dihantar ke doktor ditauliahkan untuk saringan berkenaan.
"Saya difahamkan pada masa ini jika majikan diminta dengan serta merta menghantar pekerja mereka untuk saringan, sudah pasti akan berlaku keadaan dimana akan timbul keadaan rushing mendapatkan janji temu berkenaan. Ini sudah tentu akan menjejaskan operasi syarikat menggunakan pekerja asing," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Jumaat.
Jelasnya lagi, prosedur saringan juga perlu dijalankan di syarikat berkenaan daripada di kawasan klinik.
"Sebenarnya keadaan yang berlaku sebelum ini mengundang banyak masalah, kerana tidak jelas bagaimana saringan berkenaan boleh dilakukan dan bila banyak majikan telah cuba pergi ke doktor panel, didapati bahawa mereka mengatakan tidak dapat test kit untuk melakukan RTK test berkenaan.
"Sekarang ini, kita hendaklah membuat sesuatu pastikan test kit itu diberikan kepada doktor panel yang telah dilantik dan syarikat membuat janji temu dengan panel berkenaan. Sudah tentu lebih elok lagi, jika panel tersebut dapat datang ke tempat kerja majikan berkenaan kerana untuk kita menghantar pekerja ke klinik berkenaan," katanya.
Shamsuddin turut meluahkan kebimbangan sekiranya klinik tidak dapat menampung kehadiran ramai pekerja asing.
"Dan juga kita harus memberikan masa yang sesuai untuk kita menjalankan ujian berkenaan, kerana pada masa ini kita telah diberikan arahan dari skarang sehinggalah hujung tahun ini untuk membuat ujian berkenaan," katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan majikan yang gagal memastikan pekerja asing mereka menjalani ujian saringan COVID-19, akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti bermula 1 Januari 2021.
#Menteri Kanan Pertahanan #Astro Awani #pekerja asing #majikan #Saringan COVID-19 #tempoh #lanjutan #menteri #kerajaan #undang-undang #MEF
;