Seorang Ahli Parlimen penyokong kerajaan mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula penetapan pemotongan gaji berjadual bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) berkata pelaksanaan bayaran balik PTPTN menerusi potongan gaji sebanyak dua hingga 15 peratus itu dilihat menggusarkan beberapa pihak khususnya golongan muda.

"Kerajaan harus melihat kembali penetapan (kaedah pemotongan gaji) ini supaya ia tidak membebankan peminjam. Mungkin kerajaan boleh mencari kaedah yang lebih sesuai dan lebih demokratik," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat dasar di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Hasan berkata kerajaan juga perlu melihat pertimbangan lain termasuk kemampuan dan kos sara hidup graduan.

"Apa yang dilihat sekarang, kebanyakan peminjam bukan tidak ada kesedaran untuk membayar semula pinjaman, tetapi kerana ada yang mempunyai pekerjaan tidak stabil dengan gaji yang kecil.

"Masih ada graduan bergaji rendah seperti RM1,500 dan mereka tinggal di bandar, serta dikategorikan miskin bandar. Mereka (graduan) ini dilihat masih lagi kurang berkemampuan untuk menjelaskan hutang," katanya.

Dalam pada itu Hasan memuji inisiatif kerajaan menghapuskan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam yang berumur 60 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM4,000 sebulan.

Ketika pembentangan Belanjawan 2019 2 Nov lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan akan melaksanakan potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Lim turut mengumumkan baki hutang peminjam berusia 60 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan juga akan dihapus kira, yang memanfaatkan 350 peminjam dengan melibatkan kos RM4.2 juta.

-- BERNAMA