Kerajaan diminta berhati-hati terima cadangan senaraikan Petronas melalui IPO

Astro Awani
Februari 27, 2023 17:20 MYT
Kerajaan perlu berhati-hati dalam menerima sebarang cadangan untuk menyenaraikan Petronas melalui tawaran awam permulaan (IPO) bagi mengelak Malaysia kehilangan kuasa pemilikan firma minyak negara itu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Petronas sebagai salah satu khazanah negara harus dimiliki rakyat Malaysia secara langsung, kata Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.
Menurut Guan Eng, kerajaan perlu berhati-hati dalam menerima sebarang cadangan untuk menyenaraikan Petronas melalui tawaran awam permulaan (IPO) bagi mengelakkan Malaysia kehilangan kuasa pemilikan firma minyak negara itu.
Katanya, sebarang pengapungan saham harus diberikan balik kepada rakyat khususnya negeri pengeluar minyak supaya kuasa pemilikan tetap berada di tangan rakyat.
"Itulah sebabnya saya sebut kita kena berhati-hati kerana Petronas harus dimiliki 100 peratus rakyat Malaysia dan jika kita kehilangan kuasa pemilikan, ia akan menjejaskan satu rizab strategik negara.
"Bukan sahaja rizab strategik negara tetapi lebih penting lagi ialah satu khazanah yang saya rasa tidak boleh diganti dengan sumber lain, jadi saya bersetuju dengan Titiwangsa mengenai perkara ini bahawa kita harus berhati-hati," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Dewan Rakyat pada Isnin.
Johari dalam celahannya bertanya sama ada Guan Eng bersetuju sekiranya saham Petronas diapung, ia akan akan menjejaskan pendapatan kerajaan untuk jangka masa panjang.
Terdahulu, Johari ketika mencelah bertanyakan adakah Guan Eng bersetuju sepanjang lima tahun lalu, kerajaan sangat bergantung kepada pendapatan Petronas dan jika pengapungan dibuat, ia akan menjejaskan pendapatan kerajaan untuk jangka masa panjang.
"Untuk pengetahuan Bagan, lima tahun lalu, kita mendapat faedah sebagai sebuah kerajaan daripada dividen cukai sebanyak hampir RM60 bilion tiap-tiap tahun untuk tempoh lima tahun lalu, ada tahun kita dapat RM80 bilion, ada tahun kita dapat RM60 bilion.
"Oleh itu apabila kita buat pengapungan Petronas ini, kita sudah tidak lagi boleh menguasai Petronas kerana ia sudah menjadi 'public' di luar sana dan membabitkan pemegang saham di luar negara kita, apa pendapat Bagan?" katanya.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, menggunakan Petronas untuk melangsaikan hutang kerajaan sebenarnya mengalihkan kebertanggungjawaban pihak yang membuat pinjaman.
Oleh itu kerajaan katanya harus membereskan hutang yang dipinjamkan dan bukan bergantung kepada Petronas untuk berbuat demikian.
#Petronas #IPO #Lim Guan Eng #JOHARI ABDUL GHANI
;