Kerajaan diminta ambil tindakan tegas terhadap lanun siber

Bernama
Disember 17, 2020 05:07 MYT
Burhanuddin turut menzahirkan penghargaan kepada peminat setia Upin Ipin yang bertanggungjawab dan tidak memuat turun dan berkongsi karya filem secara haram. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan lanun siber yang berleluasa menciplak karya tempatan dan memuat naik atau menyiarkannya secara haram menerusi pelbagai platform digital sama ada android box, Telegram, YouTube dan laman sosial Facebook.
Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia Burhanuddin Md Radzi berkata kegiatan lanun siber kini dilihat agak membimbangkan dan beliau khuatir penerbit filem tidak berminat untuk menghasilkan karya selepas ini akibat kerugian yang dialami.
"Kalau berterusan macam ini industri filem akan mati kerana tidak dapat menjana (keuntungan daripada) pelaburan mereka buat filem dan akhirnya penerbit filem tak nak buat filem lagi. Jadi dia akan melibatkan beribu karyawan, bukan sahaja pelakon," katanya.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk "Filem Animasi Malaysia 2020: Pencapaian dan Cabaran" yang disiarkan malam tadi.
Burhanuddin berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) juga seharusnya mengatur strategi bersama semua agensi kerajaan berkaitan bagi menangani masalah ini seterusnya memastikan kelangsungan industri perfileman negara.
Berkenaan filem “Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal” yang menjadi mangsa terbaru cetak rompak, beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu dan akan mengambil tindakan mengheret mereka ke mahkamah bagi memberi pengajaran kepada orang ramai.
Bagi pihak Les' Copaque, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada peminat setia Upin Ipin yang bertanggungjawab dan tidak memuat turun dan berkongsi karya filem secara haram.
-- BERNAMA
#Burhanuddin Md Radzi #lanun siber #ciplak #muat naik #haram #penerbit filem #kerugian #persatuan #Les' Copaque Production #FINAS #industri perfileman #keuntungan #tindakan tegas #Cetak rompak #mahkamah #Upin Ipin #NoToLanun #StopPiracyLah
;