Kerajaan dijangka umum Perintah Gaji Minimum baharu dalam Belanjawan 2025 – Pakar
Irfan Faruqi
Oktober 9, 2024 22:33 MYT
Oktober 9, 2024 22:33 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan Perintah Gaji Minimum (PGM) baharu dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober akan datang.
Ringkasan AI
- Pengumuman Perintah Gaji Minimum Baharu: Kerajaan dijangka mengumumkan PGM baharu dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober. Kenaikan Gaji Sektor Swasta dan Awam: Terdapat usaha untuk menaikkan gaji sektor swasta dan awam serta memperkenalkan gaji progresif. Penekanan kepada Isu Gaji dan Pendapatan Isi Rumah: Belanjawan 2025 akan memberi tumpuan kepada isu inflasi dan kenaikan gaji untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan adil.
Prof. Adjung Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz Universiti Malaya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakariah Rashid berkata, PGM sedia ada untuk pekerja swasta pada kadar lantai RM1,500 telah luput tempoh.
“Perintah Gaji Minimum RM1,500 ketika ini telah luput tempohnya. Maka satu perintah baharu akan dikemukakan oleh kerajaan. Saya fikir sekarang, kerajaan sedang membincangkan tentang kadar baharu gaji minimum untuk sektor swasta.
“Saya fikir ia akan diumumkan dalam Belanjawan 2025 kali ini. Sememangnya ada usaha untuk menaikkan gaji sektor swasta dan awam. Gaji progresif juga hendak diperkenalkan. Pendekatan itu nampak cantik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambah Zakariah, melalui belanjawan ini juga kerajaan dijangka meneruskan penekanan kepada isu gaji dan pendapatan isi rumah.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2025 akan menyaksikan lebih banyak penambahbaikan kepada struktur ekonomi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi lebih pesat agar hasilnya dapat dikongsi dengan rakyat terbanyak secara saksama.
Dalam temu bual dengan CNBC minggu lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan MADANI akan memberi tumpuan kepada isu inflasi dan kenaikan gaji dalam belanjawan yang akan datang.