Kerajaan dijangka perkenal inisiatif lain selain KWSP bantu rakyat

Sinar Harian
Mac 29, 2023 09:50 MYT
Rakyat perlu memahami bahawa jika pengeluaran KWSP masih diteruskan, ia bakal menjejaskan simpanan yang ada pada hari tua. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Pendebatan berhubung isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti mana yang dilakukan sebelum ini masih lagi tidak berkesudahan.
Sebahagian pihak pula menjadikan isu tersebut sebagai propaganda yang mempertikaikan inisiatif untuk membantu rakyat terutamanya golongan pekerja yang terjejas akibat impak pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, cabang-cabang inisiatif dalam usaha membantu rakyat tidak terhad kepada pengeluaran caruman KWSP semata-mata.
Pada Isnin, media melaporkan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani dalam kenyataan berkata bahawa kerajaan sewajarnya memikirkan inisiatif lain untuk membantu golongan pekerja dan bukan membenarkan pengeluaran KWSP untuk sekian kalinya.
Ujar beliau, caruman KWSP itu merupakan simpanan penting pada hari tua dan tuntutan untuk pengeluaran kali kelima dilihat tidak wajar.
Mengulas mengenai kenyataan tersebut, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud pada Selasa berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) perlu berbincang dengan MTUC bagi mencari solusi menang-menang berhubung saranan mengkaji pelaksanaan elaun kos sara hidup dan pencen bagi pekerja sektor swasta.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pelaksanaan itu dapat dilakukan dengan mengambil kira pandangan MTUC dan pihak-pihak tertentu.
Apa yang penting, rakyat perlu memahami bahawa jika pengeluaran KWSP masih diteruskan, ia bakal menjejaskan simpanan yang ada pada hari tua.
Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Mac telah menjelaskan bahawa pengeluaran caruman KWSP juga akan memberi kesan kepada dana pelaburan negara.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menegaskan bahawa kerajaan perlu mencari jalan lain bagi meringankan beban rakyat dalam usaha memastikan dana pelaburan negara itu tidak terjejas.
Dijangka kerajaan akan membentangkan inisiatif lain bagi membantu rakyat-rakyat yang dalam kesusahan.
Seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini, fokus Kerajaan Madani pada ketika ini adalah untuk membasmi kemiskinan tegar dan cubaan mengurangkan hutang negara yang menjangkau RM1.2 trilion.
Justeru, rakyat perlu bersabar dan yakin pada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dalam membawa hala tuju ke tahap lebih baik pada masa akan datang. - Sinar Harian
#KWSP #COVID-19 #pengeluaran caruman #simpanan
;