Kerajaan diharap atasi banjir termenung dialami penduduk Segamat sejak 10 tahun lepas

Bernama
Disember 15, 2022 11:51 MYT
Kerajaan Johor diharapkan dapat mencari jalan dalam mengatasi masalah 'banjir termenung' yang dihadapi penduduk sekitar Kampung Seberang Batu Badak. - Bernama
SEGAMAT: Kerajaan Johor diharapkan dapat mencari jalan dalam mengatasi masalah 'banjir termenung' yang dihadapi penduduk sekitar Kampung Seberang Batu Badak di sini, yang berlaku semakin kerap sejak 10 tahun kebelakangan ini.
Seorang penduduk, Roslim Mohamed, 42, berkata bagi tahun ini sahaja, dia telah tiga kali berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setelah kediamannya terjejas akibat banjir.
Seperti sudah lali dengan situasi berkenaan, katanya setiap tahun dia bersama keluarganya akan berpindah antara seminggu sehingga sebulan ke PPS, kebiasaannya setahun dua kali, namun tahun ini paling teruk sehingga dipindahkan untuk kali ketiga.
"Baru sahaja tiga minggu kami dibenarkan pulang ke rumah setelah kami dipindahkan awal bulan lepas (November) ke PPS, dan kini sekali lagi kami dipindahkan pada Ahad lepas (11 Dis).
"Saya berharap ada satu tindakan untuk mengatasi masalah banjir ini. Hujung tahun sehingga awal tahun, inilah rutin saya tinggal di PPS dan kebanyakan cuti tahunan saya dihabiskan kerana banjir," katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Noraina Mohamad, 31, berkata kejadian banjir kali ini menyebabkan kediamannya dinaiki air sehingga paras lutut.
Ibu kepada dua anak lelaki berusia sembilan dan tiga tahun itu sudah membuat persiapan awal dengan memindahkan barang-barang penting di tempat tinggi termasuk dokumen dan kelengkapan persekolahan anak sulungnya.
"Begitu juga perabot dan barangan lain seperti peti sejuk dan mesin basuh yang sememangnya berada di tempat tinggi. Rumah kami ini sememangnya tidak mempunyai perabot yang banyak, bimbang akan rosak apabila dilanda banjir setiap tahun dan hanya mempunyai perabot asas sahaja," katanya.
Suri rumah itu menyifatkan tempoh 10 tahun kebelakangan ini merupakan antara tempoh kejadian banjir terburuk yang pernah dialaminya.
Sehingga 8 pagi tadi, tiga PPS dibuka di Segamat iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak, Balai Raya Kampung Kuala Paya dan Dewan Komuniti Kampung Tasek, yang menempatkan 72 mangsa daripada 20 keluarga.
-- BERNAMA
#banjir #banjir termenung #Johor #PPS
;