Kerajaan digesa tangani masalah kekurangan benih ikan air tawar

Rahimah Abdullah
April 7, 2023 17:48 MYT
Pengusaha dan penternak ikan air tawar menggesa kerajaan agar segera menangani masalah kekurangan benih ikan yang menjadi cabaran besar pemain industri itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Pengusaha dan penternak ikan air tawar menggesa kerajaan agar segera menangani masalah kekurangan benih ikan yang menjadi cabaran besar pemain industri itu.
Pengasas High Tech Aquaculture, Mohd Aminudin Mohd Zaibani berkata, langkah itu termasuk menyarankan Jabatan Perikanan menggunakan pusat pembangunan akuakultur sedia ada bagi menjalankan pembenihan ikan terutama ikan keli dan patin yang dilihat semakin kritikal.
"Kalau benih tiada, macam mana penternak mahu ternak ikan? Jadi antara langkah yang saya saran, pertamanya, Jabatan Perikanan banyak pusat pembangunan akuakultur yang menghasilkan benih ikan kepada penternak atau membuat pelepasan umum di sungai terpilih. Jadi saya harap pusat-pusat ini digunakan untuk mereka menjalankan pembenihan ikan yang kritikal sekarang seperti benih keli dan patin.
"Selain itu, Jabatan Perikanan turut disaran sedia menukar jenis-jenis ikan berdasarkan kepada keperluan penternak dan apabila mereka buat, dan keluar hasil banyak maka akan dapat menghasilkan ikan yang banyak," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Kerajaan juga disaran memberi sokongan dan bantuan kepada pengusaha dan penternak ikan dengan membekalkan benih-benih ikan bagi memenuhi permintaan pasaran.
"Ramai pengusaha ikan tawar sekarang ini sudah 'cuci tangan' disebabkan kos yang tinggi dan hasil yang berkurangan. Jadi disebabkan itu, benih dan ikan berkurangan," katanya lagi.
Dalam pada itu katanya, pengusaha ikan air tawar memerlukan bantuan dari segi teknologi yang baharu dan kajian penyelidikan dilakukan pihak universiti bagi memastikan industri itu terus berkembang pada masa akan datang.
Jelas Mohd Aminudin, sokongan dan bantuan itu sangat diperlukan pengusaha dalam usaha memastikan keterjaminan bekalan makanan dan dalam masa sama mereka mampu menawarkan harga ikan yang lebih rendah kepada pengguna.
"Bagi bantuan penternak ikan sangkar atau pengusaha benih ikan, ia berlainan dari setiap pengusaha. Ada pengusaha yang memerlukan dari segi kawasan, ada yang memerlukan pembangunan, ada pengusaha sudah ada kedua-duanya, namun tidak ada dari segi kemahiran atau tenaga kerja. Mungkin itu antara yang diperlukan, ia tidak akan sama bagi setiap penternak tersebut," kata beliau.
Beliau juga berpendapat, masalah bekalan ikan berkurangan dan kenaikan harganya berlaku disebabkan hasil yang dikeluarkan tidak terlalu tinggi berpunca daripada isu kematian ikan.
Justeru katanya, kajian penyelidikan perlu dilakukan bagi membantu pengusaha mengetahui punca kematian ikan dan seterusnya dapat mencari jalan penyelesaian kepada masalah berkenaan.
"Kenapa ikan ini mati? Itulah sebab kita nak pihak yang berwajib supaya boleh lakukan penyelidikan supaya kaji tentang punca kematian ikan.
"Apabila kematian ikan dapat dikurangkan, bekalan ikan dalam negara akan kembali pulih seperti biasa," jelasnya.
Tambah Mohd Aminudin, hasil penyelidikan yang baik akan menyumbang kepada kenaikan jumlah ikan, dan sekali gus, pengusaha dan peniaga akan dapat menawarkan harga sumber makanan itu pada harga rendah kepada pengguna di pasaran.
"Harga ikan tidak akan turun, namun, kita juga tidak mahu harga ini setiap tahun meningkat. Apabila hasil `banyak, maka penternak ikan tidak perlu naikkan harga ikan bagi menanggung kos mereka, " ujar beliau.
#Mohd Aminudin Mohd Zaibani #ikan air tawar #pengusaha #benih ikan
;