Kerajaan digesa percepat umum bantuan alternatif kepada rakyat

Sinar Harian
Februari 19, 2023 07:45 MYT
Kenyataan media INECO pada Ahad. Mohd Ridzuan (gambar kiri).
SHAH ALAM: Kerajaan digesa supaya percepat umumkan bantuan alternatif kepada rakyat jika tetap dengan pendirian tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Presiden Pertubuhan Rangkaian Kerjasama Ekonomi, Pembangunan Sosial dan Hak Asasi Manusia Antarabangsa (INECO), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, usaha itu bertujuan bagi membantu rakyat yang dibebani hutang tertunggak akibat kehilangan pendapatan sejak pandemik COVID-19.
“Perlu diingat mereka yang memerlukan bantuan wang tunai ada dua kumpulan iaitu mereka yang hilang pendapatan tetapi tidak mempunyai hutang dan mereka yang hilang pendapatan tetapi ada hutang yang bayaran bulanannya sudah tertunggak berbulan-bulan.
"Biasanya, bantuan yang diberikan dalam bentuk pemberian wang tunai secara one-off boleh memanfaatkan mereka yang sekadar hilang pendapatan tetapi golongan yang dibebani bayaran hutang tertunggak memerlukan jumlah wang tunai yang agak banyak," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ujar Mohd Ridzuan, kerajaan melalui KWSP boleh menetapkan prosedur tertentu seperti baki minimum, menghadkan pengeluaran dan pencarum perlu mengemukakan alasan pengambilan bantuan berkenaan.
Menurutnya, ada di antara mereka yang setiap masa diganggu panggilan ejen pengutip hutang walaupun sudah menjelaskan bahawa mereka tiada pendapatan untuk menjelaskan bayaran berkenaan.
"Ada di antara mereka ini, jumlah hutang mereka tidak besar tetapi di dalam akaun KWSP ada ratusan ribu yang jika pengeluaran dibenarkan untuk jumlah tertentu mereka boleh melangsaikan terus hutang berkenaan.
“Kerajaan perlu cepat rangka bentuk bantuan untuk mereka supaya mereka bebas dari beban berkenaan dan keadaan emosi serta mental mereka stabil,” ujarnya. -Sinar Harian
#KWSP #bantuan alternatif #Mohd Ridzuan Abdullah #INECO
;