Kerajaan digesa lanjutkan bantuan ERP sehingga hujung tahun
Umavathi Ramayah
Jun 3, 2020 13:37 MYT
Jun 3, 2020 13:37 MYT
Kerajaan digesa untuk melanjutkan bantuan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini bagi membantu majikan dan pekerja yang terkesan dengan penularan COVID-19.
Presiden Dewan Perdagangan Digital Malaysia, Chris Daniel Wong berkata, para pakar ekonomi meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berara di paras negatif dengan -1.7 peratus pada tahun ini.
"Melihat pada paras ekonomi pada suku tahun pertama, KDNK merudum 0.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu sementara suku tahun kedua juga (KDNK) dijangka menyaksikan negatif,"katanya dalam tembual Astro AWANI menerusi Skype, di sini pada Rabu.
Melihat pada landskap itu, Chris berkata, pasaran ekonomi tidak mempunyai aliran tunai yang kukuh atau lambat.
"Apabila aliran tunai di pasaran terjejas maka ia akan memberi kesan langsung kepada punca pendapatan majikan yang akhirnya diturunkan kepada pekerja,"jelasnya.
Ekoran itu, beliau mengesyorkan kerajaan supaya melanjutkan bantuan ERP sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.
Dalam pada itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin dalam temu bual menerusi Skype turut berkongsi pandangan yang sama.
Katanya, memandangkan pada awalnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangkakan hanya satu bulan dan apabila tempoh itu dilanjutkan ia memberi beban kepada para usahawan dan peniaga.
"Saya juga berharap jumlah bantuan ERP dapat ditambah dan dilanjutkan kepada sembilan bulan.
"Ini kerana jumlah RM600 adalah terlalu kecil untuk menampung satu keluarga dalam keadaan sekarang," jelasnya.
Abdul Halim juga menyatakan kebimbangan dengan keadaan ini dan sekiranya ia berlanjutan maka bantuan tiga bulan adalah tidak mencukupi.
"Bantuan ini amat diperlukan bagi kami untuk terus bertahan dalam kelembapan ekonomi yang dijangka akan bertambah teruk pada masa depan,"ujarnya.
#COVID-19
#Dewan Perdagangan Digital Malaysia
#Dewan Perniagaan Melayu Malaysia
#ERP
#KDNK
#Majlis Tindakan Ekonomi Melayu
#PKPB