Kerajaan digesa guna khidmat PAPSMA kendali kemasukan pekerja asing

Astro Awani
Mac 14, 2022 12:09 MYT
Kementerian Sumber Manusia digesa mencadangkan kepada majikan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pengambilan pekerja asing berdaftar di negara ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia digesa mencadangkan kepada majikan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pengambilan pekerja asing berdaftar di negara ini sebagai orang tengah dalam memudahkan kemasukan tenaga kerja warga asing.
Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. Sukumaran Nair, sekiranya kementerian tidak menyokong perkhidmatan yang disediakan mereka, maka banyak pihak yang akan mengalami kerugian termasuk ejen yang berdaftar di bawah agensi tersebut.
Ini kerana jelasnya, terdapat banyak ejen haram yang tidak bertanggungjawab menggunakan kesempatan dalam mengendalikan proses pengambilan yang membenarkan senario yang tidak sihat dan mencalarkan reputasi agensi berlesen seperti PAPSMA.
“Kami mempunyai kira-kira 1,100 agensi pekerja asing berdaftar dan berlesen setakat ini berbanding dengan lebih 10,000 ejen haram di negara ini.
“Jika kami tidak diberi mandat seperti yang diluluskan dalam lesen, kami mungkin menutup operasi dan menutup perniagaan. Kami ‘dilahirkan’ oleh Kementerian Sumber Manusia dan apabila kementerian tidak menyokong perkhidmatan kami, kami mengalami situasi yang sama dengan semua ejen haram lain dan tidak dibenarkan menjalankan perniagaan pengambilan pekerja asing di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelasnya lagi, jika Kementerian Sumber Manusia sendiri tidak menyokong perkhidmatan agensi-agensi berdaftar ini, maka ramai ahli PAPSMA bakal menutup perniagaan mereka dan berisiko mengalami kerugian akibat tidak dapat berfungsi walaupun terletak di bawah kategori lesen diluluskan oleh kementerian itu.
Di samping itu ujarnya, Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang digunakan bagi tujuan permohonan itu terbukti mempunyai banyak masalah dan gangguan, justeru majikan sangat sukar memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam sistem platform digital tersebut.
“Permohonan adalah sangat ketat dan proses kelayakan untuk kelulusan, memerlukan banyak dokumentasi dan kriteria yang perlu dipenuhi.
“PAPSMA menggesa permohonan melalui sistem itu diperhalusi semula bagi memudahkan kemasukan dan kelulusan supaya tempoh masa pengambilan pekerja asing bagi memenuhi jurang kerja besar dapat dipendekkan,” jelasnya.
#Kementerian Sumber Manusia #pekerja asing #warga asing #ejen
;