Kerajaan digesa aktifkan Resolusi PBB henti serangan genosid terhadap Palestin

Kenyataan Media
Disember 11, 2023 13:00 MYT
Azril berkata, masyarakat antarabangsa mesti bertindak tegas dan segera untuk menegakkan prinsip teras hak asasi manusia dan menghentikan kehilangan lebih banyak lagi nyawa di Gaza. - Gambar fail
KERAJAAN perlu memainkan peranan penting dalam mengaktifkan resolusi Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 377 (A) di kalangan negara anggota PBB dalam usaha menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza dan menuntut masyarkat antarabangsa supaya bertindak segera dan tegas.
Pengasas dan Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) Azril Mohd Amin berkata Resolusi 377 (A), yang lazimnya dirujuk sebagai resolusi “Bersatu untuk Keamanan”, memainkan peranan penting dalam situasi di mana Majlis Keselamatan PBB, disebabkan kekurangan permuafakatan di kalangan lima ahli tetapnya, menjadi goyah dalam tanggungjawab asasnya untuk menegakkan keamanan dan keselamatan global.
“Resolusi kritikal ini memberi kuasa kepada Perhimpunan Agung untuk menangani krisis sedemikian dengan pantas dan mencadangkan resolusi untuk tindakan kolektif, termasuk kemungkinan campur tangan bersenjata, untuk memulihkan dan menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa,” Azril berkata.
Tambahnya, di tengah-tengah kebuntuan Majlis Keselamatan PBB disebabkan penggunaan kuasa veto baru-baru ini oleh Amerika Syarikat, keperluan mendesak untuk memohon resolusi 377 (A) bagi menangani krisis kemanusiaan yang teruk di Gaza, tidak boleh dipertikaikan.
Minggu lepas, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya dalam menolak resolusi untuk gencatan senjata di Palestin tatkala angka korban rakyat Palestin menjangkau lebih 17,000 orang. Cadangan Majlis Keselamatan PBB itu di tolak bulat-bulat oleh AS.
Azril menambah keadaan yang teruk sebegini memerlukan langkah segera dan tegas oleh semua pihak bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan dan melindungi nyawa rakyat Palestine tidak bersalah.
Digubal pada tahun 1950, resolusi ini dibuat untuk menawarkan laluan alternatif agar PBB campur tangan apabila fungsi Majlis Keselamatan dihalang oleh kuasa veto walaupun oleh seorang ahli tetap.
“Keadaan yang menyedihkan di Gaza menuntut campur tangan segera dan permohonan resolusi 377 (A) boleh membuka jalan untuk tindakan bersatu dalam mengurangkan penderitaan dan memulihkan kestabilan di rantau ini.
“Adalah menjadi harapan CENTHRA agar kerajaan dapat memainkan pernanan penting ke arah usaha ini dan menghimpunkan negara anggota PBB untuk memohon resolusi 377 (A) sebagai tindak balas kepada krisis kemanusiaan yang semakin teruk di Palestin,” katanya.
Masyarakat antarabangsa mesti bertindak tegas dan segera untuk menegakkan prinsip teras hak asasi manusia dan menghentikan kehilangan lebih banyak lagi nyawa di Gaza, tambah Azril.
#gencatan senjata #Centhra #PBB #krisis kemanusiaan di Gaza
;