Kerajaan dianggap serius dengar suara belia jika Akta Antilompat Parti dilaksana
Afiezy Azaman
Oktober 12, 2021 13:15 MYT
Oktober 12, 2021 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan dianggap serius mendengar suara anak muda sekiranya Akta Antilompat Parti dan Pilihan Raya Pecat dibawa dalam perbincangan Parlimen serta dilaksanakan.
Menurut Aktivis Belia, Nurul Rifayah Muhammad Iqbal, ini akan mengembalikan kepercayaan golongan belia terhadap politik sekali gus meningkatkan penyertaan mereka dalam bidang tersebut.
“Akta Anti Lompat Parti perlu digubal dan dibincangkan dalam Dewan Rakyat dan sekiranya kerajaan betul-betul ambil serius, ini sebenarnya bukan sahaja akan membuka mata anak muda untuk lebih banyak lagi penyertaan dalam bidang politik, tetapi kualiti untuk menjadi seorang pemimpin pada masa akan datang.
“Bagaimana pula sekiranya Akta Antilompat parti atau Pilihan Raya Pecat ini tidak dilakukan? Tidakkah anak muda akan menganggap undi mereka itu akan dirompak atau mungkin akan dicabul?" katanya kepada Astro AWANI, pada Selasa.
Bagaimanapun, Nurul Rifayah berkata, persoalan kini terarah kepada peranan anak muda dalam parti politik yang dilihat perlu diperkasakan.
Jelasnya, ini penting bagi memastikan isu berkaitan anak muda akan diberikan keutamaan oleh kerajaan yang memerintah.
“Sebilangan anak muda sebenarnya tidak kisah parti mana dan sebagainya, tetapi apa yang mereka kisah suara mereka akan diangkat ataupun tidak?
“Apabila mereka ingin menyertai sesuatu parti politik adakah mereka boleh berada dalam decision making position? Adakah mereka berpeluang untuk mewakili kawasan mereka? Itu sebenarnya menjadi tanda tanya,” jelasnya.
Pada 23 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Peguam Negara telah diminta untuk menggubal Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.
Bagaimanapun katanya, ia memerlukan kajian mendalam kerana soal itu amat rumit dan apabila draf rang undang-undang itu siap, ia akan dibawa untuk dibincangkan dengan setiap ahli Parlimen terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said juga telah mengusulkan mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Rang Undang-Undang Pemecatan Ahli-Ahli Parlimen 2021 yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini.
Pada 13 September lalu, pihak kerajaan dan pembangkang menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik, yang antara lain menyatakan komitmen kedua-dua pihak untuk menguatkuasakan Akta Antilompat Parti.