Kerajaan desak WHO selesai isu perbezaan pengiktirafan sijil vaksin digital
Fareez Azman
Jun 21, 2021 16:14 MYT
Jun 21, 2021 16:14 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan mendesak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar menyelesaikan isu perbezaan pengiktirafan sijil vaksin digital yang wujud di antara negara-negara pengeluar vaksin ketika ini.
Menurut Menteri Penyelaras Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, kesemua vaksin yang digunakan seluruh negara ketika ini telah diperakui WHO.
Justeru, perkara itu perlu diselesaikan bagi mengelak diskriminasi terjadi di antara negara-negara pengeluar vaksin.
"Negara China tidak boleh kata hanya mereka iktiraf Sinovac dan Sinopharm dan mereka tidak mahu iktiraf Pfizer.
"Begitu juga Amerika Syarikat, mereka perlu iktiraf Sinovac dan Sinopharm sebab semua vaksin ini telah dimasukkan dalam senarai WHO bagi kegunaan kecemasan," kata Khairy.
Dalam masa sama, Khairy menegaskan, semua negara termasuk negara pengeluar perlu sepakat dalam isu pengiktirafan sijil vaksin digital.
"Apa yang saya ingin tegaskan (ialah) WHO kena selesaikan isu ini... tanya kepada semua negara untuk iktiraf vaksin yang telah disenaraikan oleh WHO. Jika tidak, akan berlaku diskriminasi, bukan caranya untuk kita keluar daripada pandemik ini," tegas Khairy lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai kemasukan rakyat asing ke dalam negara pula, beliau berkata, untuk memberi kebenaran atau sebaliknya merupakan isu polisi sesebuah kerajaan dan bukannya teknikal.
Malah, Malaysia, katanya, sedang mempertimbangkan perkara itu berdasarkan risiko, kes harian dan varian di sesebuah negara.
"Sama ada dibenarkan atau tidak kemasukan rakyat negara lain itu adalah isu polisi negara tersebut, bukan isu teknologi atau teknikal.
"Isu ini dibangkitkan antara kerajaan, di mana kita benarkan rakyat negara lain untuk memasuki negara kita hanya jika kita kes harian di negara itu berkurangan," katanya lagi.
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#WHO
#pengiktirafan sijil vaksin digital
#PICK
#vaksin COVID-19
#Sinovac
#Sinopharm
#Pfizer
#Khairy Jamaluddin