Kerajaan dengar permasalahan disuarakan rakyat di media sosial - Annuar

Bernama
Julai 6, 2022 14:57 MYT
Tan Sri Annuar Musa berucap pada sesi Libat Urus Komunikasi Strategik YB MenKOMM bersama Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan di Putrajaya, hari ini. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil kisah dan sentiasa mendengar keluh-kesah serta permasalahan yang disuarakan rakyat di platform media sosial, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, perkara yang disuarakan di media sosial itu dijadikan sentimen analisis secara harian oleh setiap kementerian bagi mendapatkan penyelesaian dan tindakan untuk kebaikan rakyat.
"Media sosial berguna untuk kita lihat sentimen rakyat pada satu-satu masa sebab itu kerajaan buat sentimen analisis harian.
"Kita perlu dengar keluhan rakyat walaupun ia datang dari kelompok kecil, kita tidak boleh pandang kecil permasalahan rakyat di bawah," katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Komunikasi Strategik YB MenKOMM bersama Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan di sini hari ini.
Annuar berkata, setiap kementerian perlu mengambil maklum perkara yang disuarakan rakyat di media sosial kerana setiap permasalahan dihadapi mereka lebih cepat dilaporkan oleh warganet.
"Keluhan rakyat biasanya keluar dari akaun media sosial mereka dan kita tidak boleh biarkan ia begitu sahaja dan perlu lihat apa berlaku di ruangan media sosial itu.
"Tidak salah untuk ambil tindakan proaktif setelah dengar keluhan rakyat walaupun ia datang dari bentuk media sosial," katanya kerajaan yang baik adalah kerajaan yang mendengar setiap keluh-kesah rakyat.
Annuar berkata setiap kementerian juga perlu mengaplikasi media sosial sebagai medium penyampaian maklumat yang berkesan kepada rakyat.
"Kalau kerajaan tidak gunakan saluran media sosial dengan berkesan, kita akan terlepas peluang kerana masyarakat gunakan medium itu (untuk terima maklumat)," katanya. - BERNAMA
#kerajaan #masalah rakyat #media sosial #Annuar Musa
;