Kerajaan DAP Pulau Pinang tolak usul tambakan laut

Bernama
November 20, 2015 07:56 MYT
Speaker Datuk Law Choo Kiang (foto) menolak usul yang dikemukakan Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) - Foto Facebook
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Jumaat menolak usul wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang mencadangkan semua projek melibatkan tambakan laut bagi tujuan pembangunan di negeri ini, hendaklah dibentang untuk pendengaran awam terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan.
Speaker Datuk Law Choo Kiang menolak usul yang dikemukakan Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) selepas mendapati usul itu tidak memenuhi syarat peraturan mesyuarat.
"Daripada 38 undi yang dibahagikan, 23 ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) menolak usul itu, manakala 10 ADUN menerima dan lima tidak mengundi. Jadi, usul tidak dipersetujui oleh dewan dan ditolak," katanya pada persidangan DUN di sini malam ini.
Terdahulu, ketika membahaskan usul itu Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata usul berkenaan tidak ikhlas dan bermotifkan politik.
Beliau berkata usul itu tidak perlu kerana undang-undang sedia ada telah memperuntukkan perkara tersebut.
"Ini sesuatu yang tidak berprinsip langsung dan berniat memerangkap kerajaan negeri. Sekiranya tidak dibenarkan, maka kita terpaksa membayar beratus-ratus juta ringgit pampasan.
"Dalam aspek tambakan laut, ia terikut dengan undang-undang nasional. Kita tak boleh lari dengan undang-undang nasional. Jika usul ini bercanggah dengan undang-undang nasional, ia tidak laku lagi. Jangan main-main dengan perkara ini," katanya.
Yap Soo Huey (DAP-Pulau Tikus) pula berpendapat walaupun usul itu tidak perlu, orang awam seharusnya diberi peluang memberi cadangan dan maklum balas terhadap sebarang pembangunan di sesuatu kawasan itu.
Muhamad Farid berkata tujuan beliau mencadangkan usul berkenaan bukanlah mahu mensabotaj kerajaan negeri mahupun membantah sebarang pembangunan di negeri ini.
"Inilah usul saya. Saya tahu usul ini daripada BN dan memang sukar diluluskan. Sekarang bukan masalah sokong ataupun tidak. Saya mahukan realiti di mana projek-projek baharu perlu diperincikan terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan," katanya.
#BN #DUN #Law Choo Kiang #pulau pinang
;