Kerajaan DAP P. Pinang perlu minta maaf kepada pembayar cukai
Bernama
Julai 30, 2017 19:30 MYT
Julai 30, 2017 19:30 MYT
Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) meminta Kerajaan DAP Pulau Pinang memohon maaf kepada seluruh rakyat di negeri tersebut khususnya pembayar cukai di bawah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) kerana membeli pengiktirafan palsu Europe Business Assembly (EBA).
Pengerusi GAUM Datuk Zulkarnain Mahdar dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya memberi tempoh seminggu kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP untuk memulangkan semula wang rakyat yang digunakan MPPP (kini Majlis Bandaraya Pulau Pinang) dan MPSP untuk membeli pengiktirafan palsu tersebut sebelum laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat.
"Kes ini dilihat cukup memalukan dan telah menjejaskan imej Pulau Pinang di mata dunia. Sekiranya benar MPPP dan MPSP membayar wang kepada EBA untuk mendapatkan anugerah-anugerah tersebut pada tahun 2013 dan 2014, perkara ini langsung tidak boleh dimaafkan," katanya lagi.
Jelas Zulkarnain, exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang Chow Kon Yeow sendiri telah membuat pengesahan mengenai status palsu sijil berkenaan.
Dikhabarkan sebanyak RM40,000 wang telah digunakan bagi membeli sijil pengiktirafan tersebut, katanya lagi.
Tambah Zulkarnain, GAUM merasakan DAP perlu menerajui kempen mengadakan kutipan derma dalam kalangan anggota DAP untuk membayar semula wang rakyat memandangkan telah menjadi amalan pemimpin DAP sering meminta derma daripada anggota DAP apabila pimpinan DAP mempunyai masalah.
Sebagai contoh, untuk membayar wang jaminan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebanyak RM1 juta membabitkan kes rasuah pembelian banglo murah, katanya lagi.
Katanya, slogan DAP iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang sering menjadi laungan parti DAP juga perlu diubah memandangkan slogan itu dilihat sudah tidak relevan lagi dan kelihatan hanya sebagai retorik dan omong kosong.
Baru-baru ini media mendedahkan anugerah EBA yang diterima MBPP dan MPSP pada 2013 dan 2014 adalah anugerah yang 'boleh dibeli dengan wang.'
Datuk Bandar MBPP Datuk Maimunah Mohd Sharif dalam kenyataannya Sabtu berkata, pihaknya tidak menyedari EBA adalah sebuah badan antarabangsa yang mengaut keuntungan dengan menjual anugerah dan sijil palsu berikutan tidak melihat sebarang perkara mencurigakan ketika menerima pengiktirafan.
Maimunah berkata, pada 2013 MPPP dicalonkan untuk menerima anugerah 'The Best Cities' dan 'The Best Municipal Managers' daripada EBA dengan membayar yuran penyertaan sebanyak RM20,680. Sementara pada 2014, MPSP dicalonkan dalam 'Best City' dan 'Best City Manager' dengan yuran penyertaan sebanyak RM18,408.10.
-- BERNAMA