Kerajaan dan majikan mesti labur, teroka aplikasi AI dalam dunia pekerjaan - Perunding Sumber Manusia
Irfan Faruqi
Mei 2, 2023 10:00 MYT
Mei 2, 2023 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan majikan perlu melabur serta meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi dan perusahaan.
Perunding Pembangunan Sumber Manusia, Faizal Riduan berkata ini bagi memastikan aturan kerja fleksibel boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan, dengan keupayaan teknologi baharu itu untuk memantau aktiviti pekerja.
“Bila kita sebut tentang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi, saya rasa majikan dan kerajaan perlu melabur untuk benda seperti ini bagi memantau aktiviti pekerja. Kita perlu teroka AI ini untuk memantau produktiviti dan progres pekerja.
Faizal menjelaskan, dengan penggunaan teknologi baharu ini mampu menggalakkan penyertaan wanita dalam pasaran kerja negara. Malah, ia akan membantu mengekalkan wanita terus bekerja.
“Satu isu di Malaysia yang perlu kita pertimbangkan ialah kita kekurangan penyertaan tenaga buruh wanita. Padahal wanita kita yang lebih berpendidikan, tetapi bila masuk industri, dia kahwin, melahirkan anak seorang, kemudian terus hilang. Dia akan jadi suri rumah.
“Sebab industri kita tidak begitu menyokong wanita dan ibu berkerjaya. Kadar penyertaan wanita kita dalam pasaran kerja hanya 55 peratus. Kalau kita tengok negara jiran seperti Singapura, kadar penyertaan pekerja wanita mereka 69.7 peratus, manakala Thailand 66.8,” katanya.