Kerajaan dah batal ICERD, tak perlu lagi berhimpun

Sinar Harian
November 23, 2018 23:26 MYT
KHAIRY: Ini masa untuk kurangkan suhu politik negara. - Gambar fail
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa himpunan meraikan kejayaan menentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) 8 Disember ini, tidak diteruskan.
Menurut beliau rasionalnya memandangkan kerajaan telah membatalkan cadangan untuk meratifikasi ICERD jadi inilah masanya untuk mengurangkan "suhu" politik negara.
"Kerajaan dah batal cadangan untuk ratifikasi ICERD.
"Ini masa untuk kurangkan ‘suhu’ politik negara. Lebih baik tidak diteruskan lagi," katanya dalam Twitternya.
Hari ini, Pejabat Perdana Menteri telah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD.
Susulan itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun Pas menyambut baik keputusan kerajaan itu, himpunan tolak ICERD yang dijadual 8 Disember ini akan diteruskan seperti dirancang namun format ditukar kepada himpunan meraikan kejayaan rakyat membantah ICERD.
BACA: Kerajaan nyata pendirian tidak akan meratifikasikan ICERD
"Himpunan akan diteruskan cuma kita tukar format dan lokasi. Format bantahan akan bertukar meraikan kesyukuran kejayaan rakyat menolak ICERD sehingga didengari kerajaan.
"Format himpunan 8 Disember ini akan menjurus kepada tanda terima kasih kepada kerajaan yang mendengar suara rakyat.
"Lokasi pula mungkin akan di ubah ke Padang Merbok, bukannya Dataran Merdeka seperti dirancang sebelum ini. Bahkan, perarakan peserta di check-point tertentu juga akan dibatalkan, semua akan berhimpun di Padang Merbok yang akan diisi dengan majlis kesyukuran, doa rakyat dan ucapan pimpinan yang hadir," ujar beliau.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menambah, himpunan itu terpaksa diteruskan kerana peserta telah membuat tempahan bas dan hotel.
"Masa terlalu singkat, jadi kita teruskan acara seperti direncanakan cuma ia bertukar format dan pengisian sahaja.
"Kenyataan rasmi bersama antara penganjur himpunan akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya.
#ICERD #Khairy Jamaluddin #pejabat perdana menteri #ratifikasi ICERD
;