Kerajaan cari penyelesaian atasi isu permit pekerja asing - Wee Ka Siong

Afiezy Azaman
Jun 25, 2022 13:14 MYT
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed semasa perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ACCCIM Ke-76. - Facebook Wee Ka Siong
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengatur perjumpaan bersama wakil Dewan Perniagaan & Industri Cina Malaysia (ACCCIM) bagi mencari penyelesaian secepat mungkin berkaitan permit kerja bagi pekerja asing.
Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed semasa perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ACCCIM Ke-76.
"Berdasarkan maklumat yang dikongsikan, ketika ini banyak syarikat pelbagai bidang sedang menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja disebabkan kelewatan kemasukan pekerja asing ke Malaysia.
"ACCCIM mencadangkan kepada kerajaan untuk melanjutkan permit kerja bagi pekerja asing yang sah supaya syarikat dapat mengekalkan operasi sekali gus mengurangkan kos.
"Datuk Seri Mustapa turut menyatakan keprihatinan pihak kerajaan berhubung perkara ini dan akan mengaturkan perjumpaan wakil ACCCIM bersama Menteri Sumber Manusia dan Menteri Dalam Negeri bagi mencari jalan penyelesaian secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Sabtu.
Turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Melaka merangkap ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem.
#Wee Ka Siong #Mustapa Mohamed #pekerja asing #permit kerja
;