Kerajaan cari kaedah terbaik galak penoreh beralih kepada lateks
Abd Hadi Che Awang
Jun 11, 2023 15:46 MYT
Jun 11, 2023 15:46 MYT
BALING: Kerajaan sedang mencari kaedah terbaik menggalakkan lebih ramai pekebun kecil getah atau penoreh untuk beralih kepada penghasilan lateks atau susu getah yang nilainya lebih tinggi berbanding getah sekerap.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ramai penoreh masih menjadikan pengeluaran getah sekerap sebagai pilihan utama kerana lebih mudah untuk diusahakan.
Tambahnya, peralihan daripada getah sekerap kepada lateks mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan golongan pekebun kecil susulan harga yang lebih tinggi dalam pasaran tempatan.
Fadillah menyatakan penggunaan teknologi adalah antara kaedah yang boleh memudahkan kerja-kerja pengumpulan susu getah yang berkualiti sekali gus memberi jaminan lebih baik ke atas harga komoditi berkenaan.
"Jadi kalau kita ada teknologi yang boleh membantu meringankan (dan) memudahkan kerja mereka (pekebun kecil getah), mungkin mereka menggunakannya.
"Sekarang ini teknologi (itu) ada tetapi yang yang melaksanakan hanyalah syarikat-syarikat besar. Kalau pekebun kecil menggunakan teknologi itu tidak ada.
"Kalau kita dapat gabungkan (penggunaan teknologi) itu dengan syarikat (besar) dan mereka dapat membantu memastikan bahawa (hasrat kita boleh dilakukan), barulah (teknologi berkenaan) dapat digunakan," katanya.
Beliau berkaya demikian ketika sidang media selepas taklimat Projek ADTEC dan Program Sembang Warung di Kampung Charok Gorok, Baling pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa import lateks negara yang dianggarkan kira-kira RM3 bilion setahun dapat dikurangkan sekiranya proses peralihan berkenaan dapat dijayakan.
Tambahnya lagi, pihak kementerian juga sedang memperhalusi potensi yang ada pada kebun-kebun getah bagi diintegrasikan dengan pertanian lain seperti sayur-sayuran serta buah-buahan.
Ia sekali gus berupaya menjadi platform terbaik membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan.