Kerajaan cari jalan turunkan kos haji
Bernama
Oktober 29, 2019 21:34 MYT
Oktober 29, 2019 21:34 MYT
Kerajaan sedang mengkaji menurunkan kos urusan haji menerusi penubuhan jawatankuasa khas yang dinamakan Jawatankuasa Exco Urusan Haji di bawah pengurusan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata jawatankuasa berkenaan antara lain akan meneliti aspek-aspek yang menyebabkan kos menunaikan rukun Islam kelima itu tinggi, termasuk caj penginapan dan tiket penerbangan supaya kadarnya dapat dikurangkan.
"Kerajaan sentiasa mencari jalan untuk menurunkan kos operasi haji. Jika kita lihat untuk 2019, jemaah haji perlu membayar RM9,980 dengan subsidi yang ditanggung kerajaan sekitar 55 peratus iaitu RM12,900.
"Kita kaji kos yang ditanggung oleh jemaah haji ini berikutan tiada perubahan yang ketara untuk jumlah itu dalam tempoh 10 tahun," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata selama ini kos paling tinggi membabitkan tiket penerbangan dan tempat tinggal, selain sedang "meneroka" untuk menjadikan sebahagian penerbangan 'chartered' dan sebahagian lagi komersial berbanding sebelum ini yang kesemuanya 100 peratus 'chartered'.
Fuziah berkata jawatankuasa berkenaan juga sedang mengkaji cadangan untuk membenarkan hanya jemaah haji muassasah yang layak sahaja menerima subsidi bersasar, berbanding sebelum ini yang mana Lembaga Tabung Haji (TH) menanggung semua subsidi bagi jemaah kali pertama dan yang membuat rayuan.
"Kita akui mereka yang harus terima subsidi ini ialah mereka yang nak pergi haji tetapi tidak mampu, simpan duit bertahun-tahun sampai umur 70 tahun tapi duit masih tidak cukup, mereka ini yang seharusnya dibantu untuk dapat pergi haji.
Sementara itu, Fuziah berkata garis panduan etika berpakaian di tempat kerja sudahpun disemak oleh panel syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang mana ia akan memastikan tidak akan berlaku diskriminasi terhadap pekerja terutamanya wanita yang ingin memakai pakaian patuh syariah.
"Contohnya dia tidak dibenarkan menutup aurat, jadi itu diskriminasi. Sekiranya garis panduan ini diguna pakai nanti, kita akan melihat dan kaji semula perkara itu dan dasar-dasar yang berkaitan dengannya," katanya.
Beliau berkata, Jakim tidak boleh mengenakan (apa -apa) sekarang bagi bukan Islam dan belum dilihat dari sudut berkenaan.
-- BERNAMA
#caj penginapan
#ibadah haji
#kos haji
#kos pengurusan
#operasi haji
#perbelanjaan jemaah
#rukun islam
#tiket penerbangan