Kerajaan capai sasaran 60 peratus B40 diterima masuk MRSM

Hasimi Muhamad
April 8, 2019 19:33 MYT
Rina (berdiri, tiga kiri) beramah mesra bersama pelajar yang menerima sumbangan pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pra Universiti Pelajar Cemerlang MRSM SPM 2018, di Kuala Lumpur, hari ini. --fotoBERNAMA
Kementerian Pembangunan Luar Bandar komited memastikan pelajar dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah B40 dan ke bawah diberi keutamaan untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata ia terbukti apabila 67 peratus kemasukan ke MRSM pada sesi 2019 adalah daripada golongan itu.
Jelasnya, ini menjadikan sasaran untuk memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar daripada golongan B40 memasuki MRSM telah tercapai.
Angka ini, katanya, lebih tinggi berbanding kuota sebelum ini yang hanya mensasarkan sebanyak 50 peratus.
"Pertama, apabila kita sasarkan 60 peratus adalah B40, 20 peratus M40, dan 20 peratus T20, kita nak ada persaingan yang sihat, supaya mereka ini apabila habis belajar akan berada di luar, dan realitinya tidak sama seperti yang kita belajar.
"Jadi, perlu juga ada gabungan keluarga M40, T20 ini supaya ada persaingan yang sihat. Mereka sudah ada cara, mungkin dari segi pergaulan, komunikasi dan sebagainya. Jadi ini yang kita tetapkan adalah 60 peratus. Saya rasa 60 peratus ini kali pertamanya berbanding sebelum ini," katanya.
BACA: 5,400 pelajar B40 berjaya ke MRSM, rayuan masih dibuka - Rina Harun
Beliau bercakap kepada pemberita selepas selesai Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pra Universiti kepada pelajar MRSM cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, di ibu negara, hari ini.
Terdahulu, beliau ditanya mengenai jaminan kerajaan untuk memastikan MRSM tidak dimonopoli oleh golangan elit pada masa akan datang.
Seramai 52 orang pelajar cemerlang yang menerima surat tawaran pengajian pra universiti hari ini adalah terdiri daripada golongan keluarga yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.
Rina berkata, selain program penajaan yang dilaksanakan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara), kementeriannya juga menubuhkan institusi pendidikan peringkat tertiari dan pengajian tinggi untuk membuka peluang terutamanya kepada golongan B40.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mengenai pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) layak untuk menyambung pengajian dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
BACA: TVET terima lulusan UEC
Katanya, perkara itu masih lagi di peringkat perbincangan dan kerajaan dijangka akan membentangkan laporan berkenaan hal itu kepada Jemaah Menteri pada Julai 2019.
Bagaimanapun, Rina tidak bersetuju sekiranya pelajar dikenakan syarat perlu mempunyai kelulusan UEC untuk menyambung pengajian dalam mana-mana bidang kemahiran.
"Saya harap kita jelas. Sebab, apabila hendak masuk (bidang) kemahiran di bawah Universiti Kuala Lumpur, sudah pasti anda kena ada sijil-sijil dan kelayakan minimum.
"Tetapi, kalau anda sebut hendak masuk Giat Mara, kita juga ada pelajar PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) tetapi mereka minat (dan) ini peluang yang kita mahu berikan kepada masyarakat luar bandar," katanya.
#B40 #Giat Mara #kerajaan #kuota #M Kulasegaran #MARA #MRSM #Pakatan Harapan #pelajar #pendidikan #program penajaan #Rina Harun #Sijil Pelajaran Malaysia #TVET #UEC
;